suria

Tiga beranak ditemukan maut akibat bebanan hutang, kemurungan... Polis jumpa mayat ketika mahu usir dari rumah sewa

Bedah siasat perlu dilakukan bagi mengetahui punca kematian. -Gambar hiasan

SEORANG wanita berusia 52 tahun bersama dua anak lelakinya ditemukan maut di dalam kediaman sewa mereka di Kalkaji, India pada Jumaat.

Mangsa dan anak lelakinya masing-masing berumur 32 dan 27 tahun dipercayai bunuh diri akibat bebanan hutang dan masalah kewangan yang dialami.

Kejadian terbongkar sekitar pukul 2.45 petang apabila seorang bailif bersama polis tempatan hadir ke rumah tersebut bagi melaksanakan perintah mahkamah untuk mengambil alih kediaman berkenaan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis (Tenggara), Hemant Tiwari berkata, keluarga itu gagal membayar sewa bulanan sebanyak ₹25,000 (RM1,130) selama beberapa bulan, menyebabkan pemilik rumah memfailkan tindakan pengusiran di mahkamah.

"Pemilik rumah datang bersama perintah mahkamah untuk mengosongkan kediaman," katanya.

Namun tiada jawapan diterima walaupun pintu diketuk berulang kali. 

Susulan itu, pasukan terbabit menggunakan kunci pendua untuk masuk ke rumah dua tingkat itu sebelum menemui wanita berkenaan dan dua anak lelakinya maut dipercayai akibat tindakan bunuh diri.

Polis turut menemui sepucuk nota tulisan tangan sepanjang satu setengah muka surat di lokasi kejadian. 

Hasil siasatan awal mendapati kandungan nota tersebut menunjukkan keluarga itu bergelut dengan kemurungan untuk tempoh yang lama.

Walaupun motif sebenar belum disahkan, polis memaklumkan nota berkenaan mengaitkan tekanan emosi dan masalah kewangan sebagai faktor utama kejadian. 

Difahamkan ketiga-tiga mereka tidak bekerja kerana mengalami kemurungan, manakala anak bongsu sedang membuat persiapan untuk menduduki peperiksaan Perkhidmatan Awam India (UPSC).

Mayat kesemua mangsa dihantar ke bilik mayat AIIMS bagi proses bedah siasat mengikut Seksyen 194 Bharatiya Nagarik Suraksha Sanhita (BNSS). 

Difahamkan, keluarga terbabit menyewa di kediaman berkenaan sejak Disember 2023 dan hanya membayar sewa untuk beberapa bulan awal.

Ia berikutan suami mangsa yang merupakan seorang ejen hartanah meninggal dunia pada 2024 dengan bebanan hutang. -Agensi

Artikel Lain