SEORANG pekerja pembersihan menjadi tumpuan ramai selepas menemukan beg kargo berisi wang tunai di pangkal sebatang pokok.
Kejadian dilaporkan berlaku di kawasan Darıca, Kocaeli, Turkiye.
Berdasarkan laporan pada Jumaat, Ibrahim Ada ketika itu sedang bertugas di sebuah rangkaian pasar raya di kawasan Bayramoğlu sebelum menemukan beg berisi wang tunai sebanyak 60,000 dolar (kira-kira RM240,800).
Dia yang berasa curiga dengan berat beg tersebut kemudiannya membuka dan mendapati ia penuh dengan wang tunai.
"Pada ketika itu, saya langsung tidak terfikir untuk melakukan perkara tidak baik.
"Jadi saya terus menyerahkannya kepada pihak polis tanpa berfikir panjang," katanya yang melakukan penyerahan melalui pengurusan pasar raya tempatnya bekerja.
Tindakannya itu mendapat penghargaan wakil syarikat kontraktor yang bertanggungjawab terhadap kerja pembersihan pasar raya itu, Yakup Berk.
"Dia menunjukkan kepekaan yang tinggi. Sebaik menyedari beg itu berisi wang, dia segera memaklumkan kepada pihak pengurusan, dan polis dipanggil.
"Wang tersebut dikira dan memang berjumlah 60,000 dolar, kami mengucapkan terima kasih kepada İbrahim atas kejujurannya," katanya.
Dalam pada itu, Polis Daerah Darıca mengesahkan jumlah wang tersebut dan pemiliknya telah dikenal pasti. -Agensi


