suria

Wanita tembak bekas suami ceroboh masuk kediaman... Peluru pertama sempat elak, das kedua tembus ke dada

Pistol yang digunakan suspek untuk menembak bekas suaminya. -Foto Khao Ayutthaya

SEORANG wanita menembak bekas suaminya sehingga cedera parah selepas didapati menceroboh masuk ke kediamannya pada Khamis.

Ketika ditahan, suspek dikenali sebagai Supranee, 51, mengaku tindakan tersebut dibuat atas dasar mempertahankan diri.

Kejadian dilaporkan berlaku di Bang Pa-in, Ayutthaya, Thailand.

Menurut pasukan polis dari Balai Bang Pa-in, pihaknya menerima laporan insiden tembakan pada sekitar pukul 10 pagi, Khamis.

Setibanya di tempat kejadian, mereka menemukan seorang lelaki berusia 47 tahun, dikenali sebagai Karn, terbaring dalam keadaan parah di hadapan rumah.

Mangsa dipercayai ditembak di bahagian belakang sehingga peluru tembus ke dada dan sempat menjerit meminta pertolongan sebelum dibawa ke hospital.

Ketika disoal siasat, mangsa menyatakan dia dan bekas isteri bertengkar pada malam sebelum kejadian sehingga membuatkan dia keluar dari rumah.

Susulan daripada itu, mangsa kembali pada pagi Khamis untuk mengambil barang peribadi dan masuk dengan memanjat pagar.

Namun tindakannya itu membuatkan bekas isteri melepaskan dua tembakan dengan tembakan pertama berjaya dielak manakala peluru kedua mengenai bahagian belakangnya.

Tambah polis, pihaknya turut menemukan sebilah pisau yang dipercayai milik mangsa di lokasi kejadian.

Katanya lagi, suspek bertindak menyerahkan sepucuk pistol kaliber-.38 kepada polis dan mendakwa mereka bercerai pada Mei lalu akibat pertengkaran dan keganasan rumah tangga.

Suspek turut menuduh mangsa menceroboh masuk, menghempas barangan di rumah dan memecahkan pintu biliknya selain mengugut untuk menembaknya.

Dia juga mendakwa bekas suaminya pernah mengugut mencederakannya dan membakar rumah, menyebabkan dia ketakutan seterusnya menggunakan pistol untuk mempertahankan diri.

Dalam pada itu, polis memaklumkan siasatan terperinci sedang dijalankan termasuk meneliti rakaman kamera pengawasan, mengambil keterangan saksi serta memeriksa senjata terlibat.

Mereka turut mengesahkan sebelum ini terdapat beberapa aduan berkaitan konflik rumah tangga pasangan berkenaan. -Agensi

Artikel Lain

Ben Amir kini sah bergelar suami