suria

Pencuri bernasib malang… Lepas curi duit dan barang kemas, dirompak pula sekumpulan lelaki bersenjata

Setiap perbuatan jenayah ada hukumannya. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki yang baru sahaja mencuri barangan kemas dan wang tunai dirompak pula oleh sekumpulan lelaki ketika cuba melarikan diri.

Dalam kejadian 22 November lalu, lelaki berkenaan dipercayai memecah masuk sebuah rumah dan melarikan 90 gram emas dan wang tunai.

Namun, selepas melarikan diri menggunakan motosikal yang dicuri, dia didatangi empat lelaki yang menahannya sebelum mengacu pisau.

Mereka memeriksa tubuhnya dan menemukan barang kemas serta wang tunai hasil curi sebelum merampas semuanya.

Lelaki itu bagaimanapun merayu agar dia diberikan sedikit wang untuk dijadikan tambang.

Kejadian dilaporkan berlaku di Bengaluru, India.

Tidak mahu pulang dengan tangan kosong, lelaki yang dikenali sebagai Raj kemudian memecah masuk dua lagi rumah dalam lingkungan satu kilometer dari lokasi pertama. 

Kali ini dia didakwa melarikan 120 gram emas dan wang tunai dengan mangsa kemudiannya membuat laporan polis.

Polis Avalahalli menjejaki Raj melalui rakaman CCTV sebelum menangkapnya di Erode, Tamil Nadu.

Pada mulanya, polis tidak mempercayai dakwaan Raj bahawa dia dirompak selepas mencuri. 

Namun, selepas meneliti CCTV, polis mendapati dakwaannya benar apabila melihat empat lelaki menahannya dan merampas barang curi.

Susulan itu empat suspek, masing-masing berusia lingkungan 20-an dan tiada rekod jenayah, turut ditahan.

Secara keseluruhan, polis merampas barangan bernilai 7 juta rupee (RM390,000) termasuk 447 gram emas, wang tunai dan sebuah motosikal.

Kesemua kes itu diselesaikan pada Selasa, 9 Disember. -Agensi

Artikel Lain