ANAK kepada bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Zulfikar Mohamad Shariff, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Melbourne, Australia pada Selasa.
Gadis berusia 21 tahun itu maut selepas kereta yang dipandunya dihempap tiang yang tumbang akibat dirempuh sebuah treler terbalik.
Zulfikar, 54 dalam hantaran di Facebook memaklumkan bahawa anaknya, Sayyida Nafeesa maut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
“Pukul 7.45 pagi waktu Melbourne, anak kami yang tercinta dijemput pulang kepada Allah. Dia terlibat dalam kemalangan dan meninggal di lokasi.
"Dia dalam perjalanan ke MyCollege (kolej Islam) tempatnya bekerja sebagai pegawai pentadbiran. Dia pergi dalam keadaan menuju ibadah,” katanya.
Menurut laporan media Australia, insiden berlaku di Hume Highway di utara Melbourne apabila sebuah treler bertembung dengan sebuah sedan merah sebelum terbalik.
Treler itu kemudian menjatuhkan sebuah tiang besar yang menghempap Honda berwarna perak yang dipandu dari arah bertentangan dan meragut nyawa pemandunya.
Zulfikar mengesahkan kepada AsiaOne bahawa anaknya adalah pemandu Honda tersebut dan meninggal akibat kecederaan pada bahagian kepala.
Pemandu trak berkenaan dibawa ke hospital dengan kecederaan pada badan, manakala penumpang sedan merah tidak mengalami sebarang kecederaan.
Zulfikar, yang menetap di Australia sejak 2002, turut berkongsi semula laporan berita kemalangan tersebut.
Dalam hantaran awal, Zufikar menggambarkan anaknya sebagai seorang yang berhati mulia, sentiasa membantu orang lain dan memiliki sifat rendah diri. -Agensi


