suria

Calon Muka Baru Alami Nasib Tidak Sama Pada PRU-13

KUALA LUMPUR: Muka baharu yang diketengahkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) menyaksikan mereka mengalami nasib yang tidak sama pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Mereka bukan sahaja menggantikan orang lama tetapi juga bagi memenuhi aspirasi pengundi yang nyata sekali mewakili generasi muda.

Antara paling awal menyerlah ialah Rosman Isli dari BN yang memenangi pertandingan tiga penjuru di kerusi Parlimen Labuan dengan majoriti 6,625 undi.

Pencabarnya ialah Tan Sri Ibrahim Menudin (PKR) yang meraih 6,069 undi manakala Hadnan Mohamad (PAS) hanya mendapat 386 undi.

Di Sarawak, muka baharu dari Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Anthony Nogeh Gumbek memenangi kerusi Parlimen Mas Gading bagi BN dengan majoriti 2,156 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Malah lebih mengejutkan muka baharu yang diketengahkan itu dapat menewaskan calon veteran bagi kawasan Parlimen, Datuk Dr Tiki Lafe (yang bertanding sebagai calon Bebas) dan Patrick Anek Uren (Parti Reformasi Negeri-STAR) dan Mordi Bimol dari DAP.

Di Pulau Pinang, Datuk Reezal Merican Naina Merican mengekalkan legasi bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi apabila memenangi kerusi Parlimen Kepala Batas dalam percubaan sulungnya dengan meraih majoriti 4,176 undi menewaskan calon PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Reezal Merican mendapat 25,128 undi manakala Afnan Hamimi 20,952 undi.

Pendatang baharu MIC K.Raven Kumar juga menyerlah apabila menewaskan calon PKR M.S Murugan dengan majoriti 13,014 undi bagi memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh di Johor.

Seorang lagi muka baharu Normala Abdul Samad dari BN menewaskan calon PKR Ahmad Faidhi Saidi dengan majoriti kecil 935 undi bagi kerusi Parlimen Pasir Gudang di Johor.

Di Selangor, Mohd Rafizi Ramli dari PKR yang baru mencuba nasibnya pada PRU-13 memenangi kerusi Parlimen Pandan dengan majoriti 26,729 undi.

Mohd Rafizi merekodkan 48,183 undi manakala Lim Chin Yee (BN) mendapat 21,454 undi manakala calon Bebas Tan Yew Leng cuma mendapat 2,415 undi.

Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Akin mencatat kemenangan besar dalam percubaan sulungnya pada PRU-13 apabila menewaskan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam bagi kerusi Parlimen Bukit Katil dengan majoriti 5,447 undi.

Bagaimanapun, tidak semua muka baharu yang mencuba nasib pada PRU13 ini bertuah.

Bagi calon BN Chua Teik Siang ia lebih merupakan pertembungan 'budak kecil menentang gergasi' bagi kerusi Parlimen Bagan apabila dia diletakkan untuk beradu kekuatan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. Muka baharu MCA ini hanya mampu mendapat 12,307 undi berbanding Guan Eng yang meraih 46,466 undi.

Calon Gerakan Dominic Lau Hoe Chai juga mengalami nasib yang sama di kerusi Parlimen Batu apabila bertemu Tian Chua dari PKR. Tian Chua menang dengan majoriti 13,284 undi.

Di Segambut, muka baharu B.Jayanthi Devi (BN) tewas kepada Lim Lip Eng dari DAP dengan majoriti 19,199 undi. Walaupun kali pertama bertanding, percubaan Jayanthi ini adalah sesuatu yang memberangsangkan kerana kawasan itu merupakan kubu kuat pakatan rakyat.

Nasib juga tidak menyebelahi Dr King Ban Siang (BN) apabila pada usia 24 tahun menjadi calon termuda bertanding pada pilihan raya, beliau tewas kepada Gan Peck Cheng dari DAP di kerusi DUN Penggaram, Johor dengan majoriti 19,051 undi. -BERNAMA

Artikel Lain