KUALA LUMPUR: Bapa Mohd Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim pada Rabu menarik balik kenyataan beliau sebelum ini dan mengaku kejadian liwat ke atas anaknya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2008 benar-benar berlaku.
Beliau turut mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta-merta.
"Apa yang Anwar lakukan terhadap anak saya benar-benar belaku dan ia bukan konspirasi politik terhadap Anwar," katanya.
Azlan enggan mengulas lanjut punca beliau tiba-tiba berbuat demikian dengan memberitahu telah bertaubat dan menyedari keluarga lebih penting kepadanya.
Menurut Azlan, beliau tidak ditekan oleh mana-mana parti untuk berbuat demikian.
Pada Mac lalu, Azlan mendakwa anaknya menjadi sebahagian daripada konspirasi dirancang oleh seorang pegawai khas di Jabatan Perdana Menteri untuk memusnahkan karier politik Anwar.
Anwar kemudiannya didakwa di mahkamah atas tuduhan melakukan liwat ke atas Saiful tetapi dilepas dan dibebaskan.
Pihak pendakwaan telah menfailkan rayuan.


