suria

22 Mei Tarikh Putuskan Permohonan Felda Dapatkan Penghakiman Ingkar Terhadap Saifuddin

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 22 Mei ini untuk membuat keputusan mengenai permohonan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi mendapatkan penghakiman ingkar hadir terhadap setiausaha agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Persuruhjaya Kehakiman Lee Heng Cheong juga menetapkan 10 Mei untuk kedua-dua pihak memfailkan hujah bertulis, selepas menemui peguam Felda Choo Shi Jin dan S.H Tan yang mewakili Saifuddin, di kamarnya.

Felda memfailkan permohonan terhadap Saifuddin pada 5 April selepas beliau gagal memfailkan memorandum kehadirannya di mahkamah dalam satu kes saman fitnah yang dikemukakan oleh Felda terhadap beliau dan enam yang lain.

Enam pihak lain itu bagaimanapun memfailkan memorandum kehadiran dan pernyataan pembelaan masing-masing.

Pada 7 Januari lepas, Felda memfailkan saman fitnah terhadap Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan lima lagi berhubung kenyataan penjualan minyak sawit mentah ke Israel.

Empat yang lain ialah Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman, Pengarang Taufek Yahya, penulis artikel Mohd Arif Atan, dan pencetak Harakah Angkatan Edaran Ent Sdn Bhd.

Dalam pernyataan tuntutannya, Felda mendakwa Mazlan telah memuat naik kata-kata fitnah di laman sosial facebook miliknya pada 19 Nov tahun lepas dan empat hari selepas itu (23 Nov), Mazlan pula mengeluarkan kata-kata fitnah dalam satu perhimpunan di hadapan pejabat Felda.

Felda mendakwa kenyataan fitnah yang dikeluarkan Mazlan diterbitkan semula oleh defendan kedua hingga keenam menerusi beberapa artikel dalam akhbar Harakah pada 26 hingga 29 November tahun lepas.

Menurutnya kenyataan fitnah itu menjejaskan reputasi Felda dan mendakwa kesemua defendan sengaja berbuat demikian untuk menghancurkan kepercayaan dan keyakinan rakyat demi meneruskan agenda tersendiri dan kepentingan peribadi.

Felda menuntut ganti rugi am, khas, teruk, teladan, faedah dan kos ke atas semua defendan.

Felda juga menuntut satu arahan injunksi bagi menghalang Mazlan dan ejennya berbicara atau menerbitkan kata-kata fitnah tersebut di Internet atau media cetak.

Keenam-enam defenden dalam pernyataan pembelaan masing-masing mendakwa Felda tidak mempunyai hak dari segi undang-undang untuk memfailkan saman fitnah terhadap mereka, dan mereka akan bergantung kepada perlindungan bersyarat dan ulasan wajar mengenai perkara berkepentingan awam itu. - BERNAMA

Artikel Lain