suria

PKR Pertaruh 12 Muka Baru Di Kerusi Parlimen, DUN Selangor

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertaruhkan 12 muka baru untuk bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang akan diadakan 5 Mei ini.

Lima muka baru yang akan bertanding di peringkat Parlimen adalah Dr Aziz Bari (Sabak Bernam), Manivanam Govindasamy (Kapar), Wong Chen (Kelana Jaya), Rafizi Ramli (Pandan) manakala Khalid Jaafar di Hulu Selangor.

Sementara itu tujuh lagi calon yang dipertaruhkan di peringkat DUN adalah Borhan Aman Shah (Dengkil), Lee Chin Cheh (Kajang), Dr Daroyah Alwi (Sementa), Hamidi A Hassan (Semenyih), Tengku Marziah Tengku Sulaiman (Kuang), Ramachandran (Batang Kali) dan Dr Idris Ahmad (Ijok).

Senarai calon itu diumumkan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu ceramah pakatan pembangkang di padang bola sepak AU2 Keramat, di Kuala Lumpur, malam Ahad.

Pada pilihan raya umum kali ini, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak akan mempertahankan kerusi DUN Ijok, sebaliknya mencuba nasib di DUN Pelabuhan Klang.

Penyandang kerusi Parlimen Kapar, Manickavasagam pula dipindahkan dari kerusi Parlimen Kapar ke DUN Bukit Melawati.

Kerusi DUN Ijok yang disandang Abdul Khalid akan ditandingi Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Dr Idris Ahmad.

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali akan mempertahankan kerusi DUN Bukit Antarabangsa dan kerusi Parlimen Gombak manakala Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin akan mempertahankan kerusi Parlimen Ampang.

Turut dikekalkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing adalah Abdullah Sani Abdul Hamid (Kuala Langat), R Sivarasa (Subang), Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan) dan William Leong (Selayang).

Bagi kerusi DUN Selangor mereka yang dikekalkan adalah Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), Suhaimi Shafiei (Seri Muda), Dr Xavier Jayakumar (Seri Andalas), Rodziah Ismail (Batu Tiga), Dr Yaakop Sapari (Kota Anggerik), Elizabeth Wong (Bukit Lanjan), Haniza Talha (Taman Medan), Amir Shaari (Batu Caves), Gan Pei Nei (Rawang) dan Yahya Sahari (Permatang).

Dua nama yang digugurkan pada PRU-13 adalah Loh Gwo Burne (Parlimen Kelana Jaya) dan Lee Kim Sin (DUN Kajang).

Bagaimanapun, Anwar tidak mengumumkan calon kerusi DUN Kota Damansara kerana masih berunding dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Keputusannya mengenainya akan diumumkan pada Isnin.

Artikel Lain