suria

Sejumlah 1,086,191 Penduduk Sarawak Layak Mengundi

KUCHING: Sejumlah 1,086,191 penduduk Sarawak layak mengundi di kesemua 31 kawasan parlimen di negeri ini pada pilihan raya umum ke-13, menurut daftar pemilih terbaru yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sini.

Berdasarkan daftar pemilih suku keempat, yang diwartakan pada 22 Februari tahun ini, kerusi parlimen bandar iaitu Stampin mencatatkan jumlah pengundi berdaftar tertinggi iaitu 84,820 orang, disusuli Miri (71,287) dan Sibu (64,732).

Kawasan pilihan raya pinggir pantai di luar bandar iaitu Igan pula mempunyai jumlah pengundi berdaftar paling rendah dengan 17,815 orang manakala bagi seluruh negara, SPR mendaftarkan sejumlah 13.34 juta pengundi.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR akan membelanjakan kira-kira RM78 juta, termasuk peruntukan logistik, untuk mengendalikan pilihan raya di Sarawak, jumlah belanjawan tertinggi dalam kalangan beberapa negeri berikutan keluasan geografi dan rupa bumi berbukit-bukau.

Berikutan pembubaran parlimen Rabu lepas, SPR akan mengadakan mesyuarat Rabu depan untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya umum itu.

Bagaimanapun penggal 71 anggota Dewan Undangan Negeri Sarawak hanya tamat pada Mei 2016. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain