suria

Asrama Sekolah Maahad Darul Quran Di Marang Terbakar

MARANG: Sebuah blok asrama separuh konkrit Sekolah Maahad Darul Quran yang menempatkan 90 pelajar musnah dalam kebakaran, Isnin.

Kebakaran pada 10.30 malam itu menyebabkan pelajar tingkatan dua sekolah yang dikendalikan parti PAS tinggal sehelai sepinggang selepas asrama itu hampir seratus peratus musnah, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Kejadian itu berlaku ketika pelajar berkenaan sedang belajar di dalam kelas dan disedari orang ramai termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berada di dalam sebuah daripada bangunan di kawasan itu.

Abdul Hadi berkata beliau berada tidak jauh dari tempat kejadian sebelum terhidu bau asap dan melihat asap tebal namun tidak dapat memastikan bangunan yang terbakar kerana kedudukan bangunan di kawasan itu agak dekat antara satu sama lain.

Beliau kemudian menghubungi seorang daripada petugas di sekolah berkenaan untuk melihat punca asap tebal itu dan dimaklumkan mengenai kebakaran bangunan asrama menempatkan pelajar tingkatan dua.

"Kejadian itu berlaku terlalu pantas, kami tidak mampu untuk menyelamatkan apa-apa. Ada di kalangan penduduk setempat memadam kebakaran terlebih dahulu bimbang merebak ke bangunan lain.

"Saya bersyukur kebakaran itu tidak melibatkan kecederaan dan ketika kejadian pelajar berada di dalam kelas tetapi kami tetap membuat pemeriksaan takut ada pelajar yang uzur (sakit) di dalam bilik asrama," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Abdul Hadi, yang juga penasihat sekolah berkenaan, berkata sekolah itu mula beroperasi sejak 1985 dan ketika ini 900 pelajar tingkatan satu hingga menengah atas tinggal dan belajar di situ.

"Kita akan bina semula bangunan ini dalam masa terdekat dengan bantuan derma serta gotong-royong penduduk kampung.

"Pelajar yang terjejas pula akan ditempatkan sementara di bangunan asrama yang lain buat sementara waktu," katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marang Zamri Awang Long berkata 25 anggota dan empat jentera dari Balai Bomba Marang dan Balai Bomba Kuala Terengganu dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengawal api.

Katanya punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat. - BERNAMA

Artikel Lain