suria

Shamsubahrin Bawa Pengarah DPP Dan Polis Dari D9 Dalam Mesyuarat - Saksi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen diberitahu ahli perniagaan Shamsubahrin Ismail telah membawa beberapa individu termasuk Pengarah DPP (Timbalan Pendakwa Raya) dan anggota polis Bahagian Siasatan Khas (D9) dalam satu mesyuarat dengan bekas Pengarah National Feedlot Corporatioan (NFC) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Bekas Setiausaha Eksekutif NFC, Wan Zurina Saarani, 34, berkata beliau dimaklumkan oleh Shamsubahrin bahawa individu-individu yang dibawanya dalam mesyuarat bersama Mohamad Salleh pada 14 Disember 2011 adalah untuk membantu kes NFC.

"Pada 14 Disember 2011, saya telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Datuk Shamsubahrin bahawa Datuk Mohamad Salleh mahu mengadakan mesyuarat dengan beliau (Shamsubahrin) dan sama ada beliau boleh datang atau tidak, " katanya.

"Selepas Datuk Shamsubahrin memberikan jawapan setuju untuk mengadakan mesyuarat, beliau turut menghubungi saya dan menyatakan beliau akan membawa beberapa orang bersamanya iaitu pengarah DPP dan anggota polis D9 untuk bantu kes Datuk Mohamad Salleh," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa.

Wan Zurina berkata demikian pada perbicaraan kes Shamsubahrin yang berdepan 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.755 juta mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Dia juga berdepan lima pertuduhan menipu Mohamad Salleh membabitkan jumlah yang sama, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Wan Zurina memberitahu mahkamah beliau mula mencari maklumat berkenaan Shamsubahrin selepas diarahkan membuat pembayaran pertama terhadap ahli perniagaan itu.

"Selepas diarahkan membuat pembayaran pertama, saya mula tertanya-tanya siapakan Datuk Shamsubahrin ini...sebab Datuk Mohamad Salleh tidak mudah untuk berurusan dengan sesiapa, sebagaimana yang saya kenal Datuk Mohamad Salleh, dia amat teliti berkenaan duit dan dengan siapa dia berjumpa," katanya.

Saksi ke-31 pendakwaan itu berkata beliau mengambil inisiatif sendiri dengan mencari maklumat berkenaan tertuduh menerusi internet.

"Saya sendiri yang cari maklumat dalam google untuk tahu tentang tertuduh sebab saya rasa kita perlu tahu dengan siapa kita hendak berurusan di samping itu saya mahu mengesahkan beliau (tertuduh) dari syarikat mana dan untuk memastikan invois yang diberikan kepada syarikat kami betul atau tidak," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozilah Salleh bersambung esok. - BERNAMA

Artikel Lain