suria

Ahmad Zahid Terima Kunjungan Panglima Angkatan Tentera Myanmar

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan Ketua Komander Pertahanan Myanmar, Min Aung Hlaing ketika menerima kunjungan hormat di Mindef, Kuala Lumpur, Rabu. -fotoBERNAMA
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan Ketua Komander Pertahanan Myanmar, Min Aung Hlaing ketika menerima kunjungan hormat di Mindef, Kuala Lumpur, Rabu. -fotoBERNAMA
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan Ketua Komander Pertahanan Myanmar, Min Aung Hlaing ketika menerima kunjungan hormat di Mindef, Kuala Lumpur, Rabu. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu menerima kunjungan Panglima Angkatan Tentera Myanmar, Min Aung Hlaing di kementeriannya di sini.

Kunjungan tersebut, menurut Ahmad Zahid, adalah kali pertama oleh panglima angkatan tentera Myanmar ke negara ini sejak hampir 40 tahun.

"Walaupun ini pertama kali, tetapi kami telah menjalin hubungan sekian lama di dalam program untuk menerima pegawai-pegawai tentera bagi menjalani kursus-kursus di maktab turus ketika itu, dan maktab tentera ketika ini," katanya kepada pemberita selepas lawatan tersebut.

Beliau berkata lawatan itu juga menandakan 'permulaan semula yang baik' kerana pada 2015 kelak, apabila berlaku perubahan menyeluruh di Myanmar, ia akan dapat memberikan suasana baru dalam hubungan diplomasi ketenteraan antara kedua-dua negara.

"Ia akan membuka ruang yang cukup luas kepada kedua-dua negara kerana kita yakin dengan menjadikan Malaysia sebagai hub untuk negara Asean, banyak produk-produk dan aset yang dikeluarkan oleh negara ini akan dapat digunakan.

"Di samping beberapa komponen dalam industri pertahanan di Myanmar akan juga digunakan dalam pembentukan aset dan peralatan yang akan dikeluarkan di negara ini," katanya.

Ahmad Zahid berkata hubungan baik kedua-dua negara juga boleh dilihat apabila Malaysia menghantar bantuan kepada Mandalay, Yangon, ketika krisis tenaga berlaku di negara itu baru-baru ini.

"Kita telah mengangkut set generator yang dibeli Myanmar dari sebuah negara lain menggunakan pesawat Tentera Udara DiRaja Malaysia Charlie 130. Ini memperlihatkan keeratan hubungan kita di samping bantuan kemanusiaan bukan sahaja di Yangon tetapi kepada masyarakat Rohingya," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Myanmar telah mengesahkan penyertaannya dalam Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi 2013 (LIMA 2013) pada 26 hingga 30 Mac depan dengan menghantar sebuah kapal tentera laut Myanmar.

"Ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Mungkin dasar mereka lebih terbuka untuk bersama-sama dengan negara Asean lain menyertai pameran ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain