suria

Dua Along Beri Pinjaman RM500 Hingga RM2,000 Ditahan Di Melaka

MELAKA: Dua lelaki dipercayai 'Along' yang menjalankan pinjaman wang antara RM500 dan RM2,000 tanpa lesen ditahan di dua rumah berasingan di Bachang di sini, Isnin.

Kedua-dua mereka yang berusia 21 dan 35 tahun itu dipercayai memberi pinjaman wang kepada 150 penjaja dan golongan makan gaji terutama di sekitar Taman Merdeka, Batu Berendam dan Bachang sejak menjalankan aktiviti tersebut pada Jun tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Melaka Supt Soh Hock Sing berkata polis turut merampas beberapa buku rekod yang mencatatkan urusan transaksi peminjam, beberapa ikat kad peminjam wang dan kad bayaran harian dalam serbuan pada 6 pagi itu.

"Hasil siasatan mendapati mereka mengenakan faedah sebanyak 20 peratus ke atas setiap pinjaman tanpa sebarang cagaran dan polis akan menjalankan siasatan berhubung jumlah keseluruhan pinjaman yang diberi serta sumber kewangan yang diperoleh mereka dalam menjalankan perniagaan haram itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini, Selasa.

Beliau berkata peminjam perlu menyelesaikan bayaran ansuran pinjaman tersebut secara harian dalam masa 30 hari melalui kutipan yang dibuat menggunakan motosikal bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Dalam perkembangan lain, polis Melaka sedang mengesan seorang lelaki warga Guinea, Diallo Mamadou Sadio bagi membantu siasatan berhubung penipuan internet melibatkan seorang suri rumah berusia 60 tahun yang kerugian RM44,000 pada Disember tahun lepas.

Soh berkata wanita warga emas tersebut berkenalan dengan lelaki berusia lingkungan 20-an yang merupakan pelajar kolej di Melaka melalui laman sosial Facebook menggunakan identiti seorang warga Amerika Syarikat berpangkat laksamana tentera laut sejak Oktober 2012.

Beliau berkata lelaki terbabit dipercayai memperdaya wanita berkenaan melalui satu pelaburan perniagaan untuk melakukan empat transaksi wang antara 21 dan 31 Disember tahun lepas.

Katanya perbuatan wanita tersebut diketahui suaminya apabila dia mengalami kesempitan wang selepas melakukan transaksi terakhir pada 31 Disember 2012 ke akaun lelaki terbabit melibatkan wang berjumlah RM15,500.

Wanita yang tinggal di Bukit Beruang di sini kemudian membuat laporan polis pada 3 Januari lepas, katanya.

Soh berkata lima kes penipuan internet melibatkan kerugian berjumlah RM142,145 dilaporkan di Melaka dalam tempoh 15 hari tahun ini. - BERNAMA

Artikel Lain