suria

Kes Saman Fitnah Rosli Dahlan Terhadap The Star Selesai Luar Mahkamah

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah oleh peguam Rosli Dahlan terhadap pemilik dan penerbit akhbar The Star, Star Publications (Malaysia) Bhd, dan dua lagi berhubung laporan penahanannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lima tahun lalu, diselesaikan di luar mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hasnah Mohamad Hashim hari ini merekodkan penghakiman persetujuan itu melalui proses mediasi dihadiri peguam Chetan Jethwani yang mewakili Rosli dan Yee Mei Ken bagi pihak Star Publications, Ketua Pengarang Kumpulan Datuk Seri Wong Chun Wai dan Ketua Meja Jenayah The Star, Datuk Lourdes Charles selaku defendan.

Kes yang sepatutnya didengar di hadapan Hakim Hew Siew Keng hari ini ditarik balik.

Kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes di luar mahkamah berdasarkan terma penyelesaian yang diperintahkan secara persetujuan menyatakan bahawa dalam masa satu hari ketiga-tiga defendan akan menerbitkan satu pernyataan permohonan maaf pada esok. Selain itu semua defendan, dalam masa tujuh hari daripada perintah itu, akan membayar sejumlah ganti rugi kepada tiga pertubuhan amal pilihan plaintif, di mana jumlah ganti rugi yang dibayar adalah sulit.

Terma tersebut turut menyatakan plaintif menarik balik tindakan ini tanpa kebebasan untuk memfailkan semula dan plaintif akan melepaskan sebarang tuntutan dan/atau kausa tindakan terhadap defendan dalam perkara ini.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan 21 Okobert 2009, peguam tersebut mendakwa artikel yang disiarkan oleh defendan pada 12 dan 13 Okobert 2007 yang bertajuk: 'ACA Arrest Singapore Lawyer' dan 'Lawyer Charged With Hiding Information On His Assets' adalah tidak benar.

Beliau menyifatkan dua laporan itu mengandungi fitnah apabila memberikan gambaran bahawa beliau adalah rakyat asing dan mendakwa akhbar itu gagal mengesahkan fakta laporannya termasuk hakikat bahawa beliau sebenarnya adalah rakyat Malaysia.

Menurutnya, laporan itu menyebabkan kegelisahan dan keaiban kepada beliau dan keluarganya serta kehilangan klien guamannya.

Beliau turut mengemukakan tuntutan saman ke atas tiga defendan tersebut iaitu bayaran ganti rugi am, ganti rugi teruk/atau teladan, faedah, kos, permintaan maaf tanpa syarat dan perintah lanjut yang dianggap wajar oleh pihak mahkamah. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain