suria

1,235 Mangsa Banjir Di K.Terengganu Terima Bantuan RM500

KUALA TERENGGANU: Kesemua 1,235 mangsa banjir daripada 276 keluarga di Kuala Terengganu telah menerima bantuan sebanyak RM500 melalui Tabung Bantuan Bencana Negara yang dikendalikan Majlis Keselamatan Negara bagi meringankan beban kewangan mangsa.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh Ramli Nuh berkata kesemua mangsa yang ditempatkan di enam pusat pemindahan banjir di DUN tersebut menerima bantuan wang tunai itu, minggu lepas.

"Alhamdulillah, semua bantuan dari kerajaan pusat telah kita agihkan, cuma sekarang hanya menunggu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat penilaian kerosakan peralatan di rumah mangsa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis suai kenal pelatih di Institut Latihan Perindustrian Kuala Terengganu di sini, Ahad.

Menurut Ramli penilaian itu akan mengambil masa yang agak lama, justeru mangsa diharap dapat bersabar menunggu bantuan selepas penilaian selesai dijalankan JKM.

"Banyak faktor yang akan dinilai JKM, antaranya jenis kemusnahan, tahap kerosakan peralatan di rumah serta jumlah isi rumah yang terbabit banjir," katanya.

Katanya dengan bantuan yang dihulurkan pelbagai pihak bagi membantu mangsa banjir di Terengganu baru-baru ini, ia sedikit sebanyak telah memberikan motivasi kepada mangsa banjir untuk menghadapi ujian bencana itu.

Menurut beliau rakyat Terengganu sangat bertuah kerana selain bantuan daripada kerajaan pusat, kerajaan negeri Barisan Nasional Terengganu juga banyak menghulurkan sumbangan demi menceriakan kehidupan harian mangsa.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak RM300,000 peruntukan kerajaan negeri juga telah diagihkan kepada 2,807 pelajar daripada 1,856 keluarga miskin di DU NTepoh untuk membeli pelbagai keperluan sekolah seperti pakaian, beg, kasut dan alat tulis.

"Selasa ini, bantuan persekolahan dari kerajaan pusat sebanyak RM100 kepada setiap pelajar akan mula diagihkan dan diikuti Bantuan Rakyat 1Malaysia yang memperuntukkan RM500 kepada ketua keluarga dan RM250 kepada individu bujang," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain