suria

Pemergian Kanang Langkau Kehilangan Besar Kepada Negara

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu, berkata Malaysia kehilangan seorang pahlawan negara yang amat berdedikasi dan sahabat karib, dan bukanlah mudah untuk mencari seorang lagi tokoh seperti Datuk Temenggong Kanang Langkau, yang meninggal dunia, Khamis.

Beliau berkata, Sarawak dan negara akan menangisi kehilangannya.

"Beliau adalah seorang wira kerana sebagai anak Sarawak dan anak Malaysia, beliau mengabdikan hidupnya untuk mempertahankan negara kita yang tercinta ini. Beliau telah menabur jasa sepanjang kehidupannya lebih-lebih lagi ketika menentang komunis," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Umum Sarawak di sini, Khamis.

Turut hadir ialah Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti (Kesihatan Umum) Sarawak, Dr Jerip Susil dan Panglima Markas 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar.

Mendiang Kanang, 68, meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak akibat serangan jantung jam 1.45 pagi Khamis.

Kanang adalah anak jati Sarawak, yang menjadi kebanggaan negara, kerana keberaniannya menentang komunis ketika bersama Angkatan Tentera Malaysia dari 1962 hingga 1983.

Mengenai upacara pengebumian negara bagi Kanang, Jabu berkata semua butiran akan dikeluarkan oleh pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak.

"Butirannya akan diumumkan oleh pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri menerusi media mengenai jadual waktu bagi orang ramai memberi penghormatan terakhir mereka," katanya.

Mayat mendiang Kanang akan dipindahkan dari Hospital Umum Sarawak esok pagi ke Dewan Suarah Kuching.

Jasadnya itu kemudiannya akan dibawa ke St Thomas Cathedral bagi upacara keagamaan pada Ahad, dan dikebumikan mengikut istiadat penuh pengebumian negara di Tanah Perkuburan Pahlawan, berhampiran Taman Budaya, Kuching.

Sementara itu, anak angkat mendiang yang hanya ingin dikenali sebagai Shima berkata dia mendapat berita kematian mendiang Kanang pada jam 1.45 pagi.

"Walaupun hanya anak angkat, saya rapat dengan ayah dan keluarga ini. Ayah ada telefon saya dua hari lalu nak jumpa, kata ayah dia ada hal nak cakap tapi tak terangkan apa hal tersebut," katanya.

Menurutnya, mendiang Kanang sering menasihatkannya untuk menjadi seorang yang berani dan sering berkongsi pengalaman semasa bertugas menentang komunis.

Rakan seperjuangan, Mejar (B) Michael Riman ak Bugat berkata mendiang Kanang terkenal dengan kecekapan ketika menjalankan tugas.

"Dalam masa kecemasan, menjalankan tugas, dia seorang yang tabah dan cukup cekal dalam mengendalikan tugas di dalam hutan. Kelebihan beliau banyak terutama berkaitan hutan dan operasi. Pemergian beliau satu kehilangan besar bagi semua," katanya.

- BERNAMA

Artikel Lain