suria

21.12.2012: Persediaan Dibuat Untuk Segala Kemungkinan

PETALING JAYA: Terdapat pelbagai ramalan kononnya berlaku malapetaka pada hari ini (21.12.2012), dengan adanya cakap-cakap tentang tsunami dan gempa bumi yang akan memusnahkan bangunan di seluruh dunia dan beberapa dakwaan bahawa sebuah planet dipanggil Nibiru akan muncul dari belakang Matahari dan akan berlaku pertembungan dengan Bumi.

Walaupun kebanyakan rakyat Malaysia seolah-olah mengambil ringan ramalan "kiamat" ini, ramai juga yang menyimpan stok makanan yang lebih kerana bimbang berlakunya bencana alam besar-besaran.

"Kita semua telah membaca tentang ramalan. Sama ada ia benar atau tidak, kita hanya akan tahu ia pasti dalam tempoh beberapa hari akan datang. Jalan terbaik adalah dengan bersedia," kata pengurus besar syarikat logistik yang hanya mahu dikenali sebagai Ranjit, 55.

Dia percaya mungkin akan berlaku perubahan cuaca yang drastik dan telah menyediakan pakaian musim sejuk untuk dirinya dan keluarga.

"Mungkin salji turun di Malaysia esok," katanya, sambil menambah dia akan meneruskan hidup dan memastikan keluarganya selamat.

Seorang blogger Malaysia, yang hanya mahu dikenali sebagai Bala Joe percaya ribut solar besar-besaran akan melenyapkan kuasa grid dan meninggalkan jutaan penduduk tanpa elektrik untuk beberapa bulan.

Bilik stornya diisi dengan makanan dalam tin, lampin bayi dan susu tepung, dapur yang besar serta kotak arang.

"Bekalan air kami boleh bertahan selama tiga hari dan saya bercadang untuk membeli bekas air yang lebih besar," katanya, sambil menambah persediaannya bukan untuk 21 Disember sahaja, tetapi untuk hari-hari seterusnya kerana apa-apa sahaja boleh berlaku bila-bila masa tidak lama lagi.

Dia juga membawa 'kit kelangsungan hidup' yang disimpan dalam but kereta sekiranya dia tidak berada di rumah apabila berlaku bencana.

"Jalan-jalan boleh banjir atau rosak teruk, cuaca mungkin terlalu teruk untuk saya keluar, pengangkutan awam mungkin lumpuh dan dalam senario terburuk, rusuhan ganas boleh tercetus," dia menulis dalam blognya.

Dia mencadangkan agar mereka yang membuat persediaan menyimpan makanan dan air secukupnya untuk bertahan selama 72 jam, kit pertolongan cemas, peta dan maklumat perjalanan serta beg peralatan perkhemahan.

Di Facebook, satu kumpulan yang dipanggil "Preppers Doomsday Malaysia" telah berkongsi maklumat untuk menghadapi hari dimaksudkan.

Antara yang ditulis pada halaman tersebut: "Saya percaya kiamat, saya percaya tsunami yang boleh berlaku di Malaysia, saya juga percaya wabak misteri yang tidak boleh diubati boleh berlaku. Saya percaya, maka saya membuat persediaan. "

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain