suria

Keadaan Keselamatan Di Kedah Normal - Ketua Polis Kedah

SUNGAI PETANI: Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata pada Rabu, keadaan dan suasana keselamatan di negeri ini adalah terkawal serta normal dan tiada rusuhan berlaku seperti yang disebarkan di laman sosial dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Beliau berkata walaupun berlaku insiden pergaduhan sebelum ini, semuanya telah dapat diatasi dan dikawal oleh pihaknya.

"Setakat ini seramai 21 orang telah disoal siasat bagi membantu siasatan insiden sebelum ini dan diharapkan semua pihak dapat memahami bahawa situasi di Sungai Petani adalah terkawal," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini bagi membincangkan dakwaan berlaku rusuhan di daerah berkenaan.

Katanya orang ramai sepatutnya merujuk kepada pihak polis sekiranya ingin mendapatkan maklumat tepat mengenai keadaan keselamatan semasa di negeri ini.

Ahmad berkata kebanyakan penulisan mengenai sesuatu berita terutama di laman sosial adalah tidak tepat dan berunsur provokasi.

Sementara itu, Anggota Majlis Perbandaran Sungai Petani, S.Pichathu berkata keadaan di daerah itu aman serta damai, tidak seperti yang digambarkan oleh berita-berita di laman Facebook, Twitter dan blog yang mendakwa berlaku rusuhan.

"Mereka saja nak buat propaganda, kami di sini dalam keadaan biasa sahaja, orang luar sahaja yang buat andaian macam-macam," katanya.

Lee Heng Chai, seorang lagi anggota majlis itu berkata, dakwaan mengenai rusuhan itu timbul apabila sekumpulan anak muda bergaduh kerana salah faham.

"Orang muda biasalah, perangai mereka cepat naik baran, bila tersentuh sikit pun boleh bergaduh, terus pukul tanpa usul periksa. Masalah itu kelihatan besar apabila ada campur tangan daripada orang luar," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain