suria

Polis Kenal Pasti Saksi Pergaduhan Semasa Ceramah PKR

GOMBAK: Polis telah mengenal pasti beberapa orang bagi membantu siasatan berikutan pergaduhan yang menyebabkan dua orang cedera semasa ceramah PKR dekat sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Supt Rosly Hassan berkata, ceramah bermula pada pukul 9 malam, Selasa, di Dataran Sharuddin, Batu 8 1/2.

"Satu kumpulan yang diketuai oleh Ketua Pemuda Umno Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin tiba di luar kawasan di mana ceramah diadakan.

"Mereka tidak memasuki kawasan ceramah tetapi telah didakwa mengeluarkan beberapa perkataan yang mengecewakan sesetengah audiens di dalam," katanya di balai polis daerah Gombak, Rabu.

Beliau menambah perang mulut tercetus dan keadaan menjadi teruk, yang membawa kepada adegan tolak-menolak dan membaling botol serta batu.

Pegawai FRU bertindak segera untuk mengawal keadaan dan meleraikan pergaduhan antara kedua-dua kumpulan.

Dua laporan polis telah dibuat.

"Seorang lelaki mendakwa dia telah dibaling dengan batu di dahi manakala seorang lagi dari kumpulan lawan mengalami kecederaan pada bahunya.

"Kedua-dua lelaki menerima rawatan pesakit luar bagi kecederaan kecil," kata Supt Rosly sambil menambah tiada senjata ditemui di tempat kejadian.

Ceramah diteruskan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai salah seorang penceramah pada hari tersebut.

Polis dijangka memanggil pihak penganjur atas kesalahan melanggar Akta Perhimpunan Aman 9 (5) berhimpun tanpa notis.

Seksyen ini menetapkan pihak berkuasa mesti diberitahu tentang penganjuran sebarang perhimpunan sekurang-kurangnya 10 hari lebih awal tetapi polis hanya dimaklumkan lapan hari sebelum ceramah pada Selasa berlangsung.

Polis juga akan menyiasat kes itu di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Artikel Berikut

Artikel Lain