suria

Sukar Bina Rumah Harga RM350,000 Di Ibu Kota - Chor

KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung pada Jumaat mengakui sukar untuk menjangkakan sesebuah pemaju perumahan dapat membangunkan rumah mampu milik berharga bawah RM350,000 di sekitar ibu kota.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pemaju perumahan untuk membina rumah di kawasan yang dapat diakses dengan mudah seperti di Rawang, Selangor dan Pajam, Negeri Sembilan pada harga di bawah RM400,000 yang masih boleh dikategorikan sebagai mampu milik.

Berhubung isu rumah terbengkalai, Chor berkata bilangan projek terbengkalai menunjukkan penurunan yang ketara sejak tiga tahun lalu dan perkara itu dibuktikan menerusi petunjuk prestasi utama (KPI) beliau bagi tahun 2011 dan 2012.

"Saya telah diarahkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk memastikan rumah-rumah terbengkalai oleh pemaju swasta terutamanya kos sederhana dan rendah disiapkan untuk kemudahan pembeli sedia ada.

"Tahun lepas KPI yang diberikan adalah 30, tetapi saya dapat menyiapkan 32 projek perumahan. Tahun ini KPI dinaikkan kepada 35 dan saya juga telah mencapai jumlah itu," katanya pada sidang media selepas melawat pameran perumahan 'Star Property Fair 2012' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sini.

Turut hadir Ketua Pengarang Kumpulan dan Pengarah Eksekutif The Star Datuk Seri Wong Chun Wai.

Chor juga memaklumkan bahawa kementerian sedang berusaha mencari pendekatan terbaik bagi menarik minat pemaju perumahan menggunakan kaedah bina dahulu baru jual untuk mengelak berlakunya projek terbengkalai.

Beliau juga berharap pameran perumahan itu dapat dianjurkan lagi tahun depan bagi memenuhi permintaan golongan berpendapatan sederhana.

Pameran perumahan itu, yang berakhir Ahad ini, disertai 60 pemaju perumahan seperti SP Setia, Andaman Property, Sunway Group, IJM Corporation dan Seri Pajam Development Sdn Bhd dengan lebih 200 ruang pameran.

Selain pameran perumahan, pengunjung juga boleh mendengar taklimat berkaitan hartanah, feng shui dan teknik dekorasi rumah yang diadakan secara percuma. - BERNAMA

Artikel Lain