suria

Kerani Bank Didakwa Pecah Amanah RM305,625

SHAH ALAM: Seorang kerani bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM305,625 empat tahun lepas.

V.Subramaniam, 49, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di depan Hakim Aslam Zainuddin.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Berhad cawangan Pelabuhan Klang pada 30 Mac dan 5 Okt 2009 mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dan sebatan, serta boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, Subramaniam telah diamanahkan dengan wang RM150,000 untuk disimpan sebagai sijil simpanan tetap atas nama S.Vija Viseweary dan RM155,625 atas nama V.Tangaraj.

Bagaimanapun, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta itu untuk kegunaan peribadi.

Mahkamah membenarkan Subramaniam diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Jan untuk sebutan semula kes serta mengarahkan tertuduh melapor diri di Balai Polis Johor Baharu Selatan pada Isnin pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Iswa Tonie manakala tertuduh diwakili peguam T.Vishant. BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Tidak Pinggirkan Kaum Lain

Artikel Berikut

Artikel Lain