suria

Kontroversi Kenyataan Nurul Izzah Dalam Ucapan Dasar Ketua Puteri

KUALA LUMPUR: Kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar berhubung kebebasan beragama di negara ini turut terpakai kepada orang Melayu menjadi salah satu petikan dalam ucapan dasar ketua sayap Umno dalam Perhimpunan Agung Umno 2012.

Perkara itu dibangkitkan Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin kepada perwakilannya ketika menyentuh tentang cabaran dan hakikat politik bersadur fitnah yang perlu dihadapi Puteri pada masa kini.

Dalam berdepan situasi seperti ini, beliau mengajak Puteri bersandar kepada tiga senjata utama yang dididik agama iaitu ilmu, kebijaksanaan dan sabar.

"Tanggal 3 November 2012 ketenangan yang selama ini berdamping erat dengan jiwa rakyat direntap tiba-tiba. Seluruh negara tergamam mendengar kenyataan Nurul Izzah yang menyatakan orang Melayu Islam berhak memilih agama di bawah prinsip kebebasan beragama di sebuah forum.

"Mendepani situasi mencabar ini marilah kita laung dan zahirkan teori hikmah bersandarkan tiga senjata yang dididik agama iaitu ilmu kebijaksanaan dan sabar yang harus beradaptasi mengikut situasi.

"Tanpa ilmu, kebijaksanaan tidak akan lahir, dan tanpa sabar, fitnah akan menyalakan api kemusnahan, membakar seluruh isi perjuangan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar kepada perwakilan Puteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dekat sini, Rabu.

Menurut Rosnah pemimpin wanita beragama Islam ini dengan sewenang-wenangnya memetik ayat al-Quran dan jelas terkeliru dengan surah al Baqarah ayat 256.

Malah katanya, sebaran idea pluralisme ini bukan sahaja mengancam akidah umat Islam bahkan menyanggah dan mencabar Perlembagaan Persekutuan perkara 160(2) yang meletakkan antara definisi Melayu mestilah seseorang yang beragama Islam.

Mengulas lanjut Rosnah berkata politik bersadur fitnah di akhir zaman bukan lagi asing dan ganjil kerana fitnah sudah lahir seawal zaman Qabil dan Habil.

Justeru beliau berkata fitnah yang membentuk persepsi dalam minda masyarakat akan ditentang habis-habisan oleh Puteri.

"Puteri ingin berada di saf paling hadapan, menangkis tohmahan dan fitnah pembangkang.

"Puteri dengan berani akan katakan kepada semua. Persepsi lawannya bukan persepsi, persepsi lawannya bukan emosi sebaliknya perspsi akan dipatahkan dengan hujah, ilmu dan fakta. Ini jalan kita," katanya.

Selain itu, beliau turut membangkitkan tindakan pembangkang membentuk persepsi buruk dengan membuat pelbagai tuduhan palsu kepada kerajaan termasuklah menuduh kerajaan tidak menjaga kebajikan rakyat dan menolak tema Sambutan Kemerdekaan Negara Ke-55, 'Janji Ditepati'.

Perwakilan turut diingatkan tentang janji kerajaan Selangor dalam manifesto 2008 untuk memberi elaun bulanan kepada ibu tunggal yang tidak ditunaikan.

Artikel Lain