suria

Ketua Puteri Tuntut Kesepaduan Luar Biasa Ahli Untuk Menang PRU-13

Rosnah Abdul Rashid Shirlin. Foto AZLINA BT ABDULLAH / THE STAR
Rosnah Abdul Rashid Shirlin. Foto AZLINA BT ABDULLAH / THE STAR
Rosnah Abdul Rashid Shirlin. Foto AZLINA BT ABDULLAH / THE STAR

KUALA LUMPUR: Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menuntut ahli-ahlinya memberi kesepaduan luar biasa dalam tahun terakhir ini untuk memenangi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Katanya, di saat genting menjelang pilihan raya, semua anggota sayap parti perlu mengenepikan perasaan negatif supaya sama-sama dapat bergerak mencapai tujuan tersebut.

"Di saat genting ini ketepikanlah rasa iri hati, dengki, cemburu mebuta tuli. Berilah saya setahun yang terakhir ini satu kesepaduan ahli yang benar-benar luar biasa untuk kita sama-sama bergerak memenangi pilihan raya.

"Berilah kesetiaan bukan untuk saya, tapi untuk Umno, dulu kini dan selamanya," kata Rosnah ketika menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan Pergerakan Puteri Umno, dekat sini, Rabu.

Rosnah dalam ucapannya turut mengingatkan perwakilan bahawa dalam soal perpaduan, parti harus didahulukan lebih daripada kepentingan sendiri dengan kesetiaan tidak berbelah bahagi.

"Pengkhianatan terhadap individu mungkin dianggap biasa tetapi pengkhianatan terhadap parti hanya akan membawa binasa," tegasnya.

Rosnah, yang bersemangat ketika menyampaikan ucapan berkata, sudah sampai masanya untuk Puteri berubah dan mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap parti.

Katanya, perubahan tersebut perlu disertai dengan keberanian, keazaman, kecekalan dan rasa tanggungjawab di samping pengorbanan.

Beliau menambah, isu-isu yang dibangkitkan dalam perbahasan akan diperhalusi dan diketengahkan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tindakan susulan.

Ahli Parlimen Papar ini berkata, setiap ahli perlu sama-sama bangun dan berjuang walau berdepan seribu halangan seperti mana yang ditekankan beliau dalam ucapan dasar pada sebelah pagi.

Katanya, walaupun di luar sana ada suara-suara yang mengkritik Puteri tidak lagi relevan pada perjuangan, tidak mampu melahirkan pemimpin untuk berjuang, tertinggal di belakang dan Puteri lemah longlai tidak bermaya berbuat apa-apa, semua itu tidak mengapa asalkan ahlinya berpegang kepada prinsip keikhlasan.

"Walau kita difitnah, dikritik, dihina, tetapi jiwa pejuang yang lahir dalam setiap diri Puteri tidak akan padam.

"Puteri tidak kata Puteri tidak boleh dikritik, ditegur. Cuma kita mahu pengkritik-pengkritik ini sedar Puteri hanya percaya pada satu prinsip untuk berjuang iaitu keikhlasan," katanya.

Rosnah mengakhiri ucapannya dengan mengingatkan anggotanya bahawa perjuangan tidak semuanya indah dan mudah.

Artikel Lain