suria

Penyelia Stor Didakwa Pecah Amanah Babit Paket Tepung Susu Bernilai RM553,698

PETALING JAYA: Seorang bekas penolong penyelia stor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Jumaat atas tuduhan melakukan pecah amanah membabitkan 2,465 paket tepung susu bernilai RM553,698, dua tahun lepas.

Ahmad Sobri Husain, 35, dari Perak, didakwa melakukan kesalahan itu apabila paket tepung susu itu hilang semasa di bawah jagaannya di premis syarikat Malaysia Milk Sdn Bhd di sini antara Februari dan November 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat atau denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt menawarkan wang jaminan RM50,000 dengan dua penjamin terhadapnya atas alasan kesalahan yang dilakukan adalah berat dan membabitkan nilai kerugian yang besar.

Peguam Esther Tan, yang mewakili Ahmad Sobri, memohon mahkamah memberi jaminan yang munasabah kerana anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarganya.

Hakim Rozina Ayob membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis yang berdekatan.

Mahkamah menetapkan 20 Disember ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Lain