suria

Isu Murtad Di Selangor Berkait Dengan Kemiskinan - Abdul Khalid

SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Jumaat berkata, isu murtad dalam kalangan umat Islam di Selangor antara lain berpunca daripada kemiskinan dan usaha menanganinya perlu dilaksanakan dengan bijaksana.

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Negeri, beliau berkata, beliau akan melihat langkah menggabungkan perkhidmatan bantuan Tabung Amanah Islam dan Lembaga Zakat Selangor supaya kebajikan umat Islam lebih terjaga.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali (Bebas-Gombak Setia) yang bertanya mengenai usaha memurtadkan umat Islam di Selangor, pada persidangan Dewan Undangan Negeri.

Abdul Khalid berkata, agensi penguatkuasaan agama Islam di Selangor juga perlu memantau cara pendakwa agama lain menarik umat Isalam serta mengkaji kaedah untuk menyelamatkan akidah umat Islam.

Menjawab soalan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) yang bertanyakan jumlah umat Islam yang dimurtadkan sejak Pakatan Rakyat memerintah Selangor, Abdul Khalid berkata, beliau tidak mempunyai datanya memandangkan isu murtad merupakan isu individu dan keluarga yang tidak dihebahkan.

Bagaimanapun 10 kes berkaitan murtad masih dalam proses mahkamah, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain