suria

Kes Bunuh Stephanie Forey: Saksi Nampak Mayat Dibungkus Seperti Mumia

KUANTAN: Seorang saksi kes pembunuhan pelancong wanita Perancis, Stephanie Foray di Pulau Tioman tahun lepas memberitahu Mahkamah Tinggi pada Selasa bahawa mayat si mati dijumpai dalam keadaan dibungkus seperti mumia oleh Pakar Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Dr Sri Marni Zainal Abidin dan pasukannya.

Pegawai penyiasat Inspektor Shuhada Salim yang menyambung keterangan perbicaraan kes itu hari ini berkata, Dr Sri Marni menjumpai mayat si mati di dalam sebuah lubang di dalam gua yang terletak berdekatan dengan rumah tertuduh, Asni Omar di Kampung Tekek, Pulau Tioman.

Menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Salim Soib@Hamid, Shuhada berkata mayat dijumpai oleh Dr Sri Marni dan pasukannya setelah menggali lubang yang didakwa tempat mayat si mati dibuang.

Salim: Boleh kamu ceritakan bagaimana keadaan mayat tersebut.

Shuhada: Minta maaf saya tidak dapat nak gambarkan keadaan mayat, tapi yang saya nampak ia dalam keadaan 'mummified' (dibungkus seperti mumia)," katanya.

Shuhada, saksi pendakwaan ke-13 memberi keterangan dalam kes yang melibatkan Asni, 37, seorang peniaga kecil-kecilan yang didakwa membunuh Foray di rumah tidak bernombor di Kampung Tekek, Pulau Tioman, Rompin antara 8 malam, 10 Mei dan 12 tengah hari pada 12 Mei tahun lepas.

Shuhada juga memberitahu mahkamah bahawa mayat itu kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat ASP Mohd Razali Razak untuk dikendalikan setelah Dr Sri Marni melakukan pemeriksaan ke atas mayat berkenaan.

"Pasukan Dr Sri Marni juga menjumpai beberapa barangan lain dalam lubang kedua di gua itu iaitu sebiji bantal, dua biji bantal peluk kecil, satu tilam besar, satu tilam kecil, satu guni plastik beserta plastik hitam dan kain," katanya.

Katanya barangan tersebut (kecuali mayat) dibawa ke Balai Polis Pulau Tioman untuk dibungkus semula bagi mengelakkan kontaminasi dan menjaga integriti bahan bukti berkenaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mariana Yahya bersambung esok. BERNAMA

Artikel Lain