suria

Muktamar PAS: Lima Usul Akan Dibahas

KUALA LUMPUR: Sebanyak lima usul akan dibentang dan dibahaskan para perwakilan pada Muktamar Tahunan PAS ke-58, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

Beliau berkata antara usul yang akan dibentang dan dibahas oleh 1,200 perwakilan ialah melibatkan usul ekonomi, politik, pendidikan, sosial dan pilihan raya umum ke-13.

"Setakat ini, lima usul sahaja yang akan dibahaskan dan usul-usul ini datang daripada Jawatankuasa PAS Pusat, Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat serta PAS kawasan.

"Jadi kami kena lihat dahulu apakah hasil keputusan daripada muktamar Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat sama ada mereka mempunyai sebarang usul lain yang akan dibawa ke muktamar tahunan PAS," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Salahuddin berkata fokus paling penting muktamar kali ini adalah mengenai kesiapsiagaan PAS menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Saya percaya mana-mana parti pun akan membincangkan dengan serius mengenai persiapan pilihan raya, begitu juga dengan PAS. Inilah agenda utama muktamar kali ini yang akan menjadi muktamar terakhir sebelum pilihan raya," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata selain membahaskan secara mendalam mengenai persiapan parti menghadapi pilihan raya, perwakilan juga akan membahaskan ucapan dasar Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Perwakilan perlu memahami dengan betul intipati ucapan Presiden dan berbahas dengan matang," katanya ketika dihubungi Bernama.

Muktamar tahunan PAS bertemakan "Negara Berkebajikan Teras Perpaduan' diadakan pada Jumaat hingga Ahad ini (18 Nov), di Pengkalan Chepa, Kelantan.

Muktamar tahunan Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat telah bermula hari ini hingga esok manakala muktamar tahunan Dewan Ulama akan bermula Jumaat ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Waspada Sampai Mesej Islam - Hadi

Artikel Berikut

Artikel Lain