suria

Waspada Sampai Mesej Islam - Hadi

KOTA BARU: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan pemimpin Islam perlu berhati-hati dalam menyampaikan mesej berkaitan keagamaan supaya tidak disalah tafsir.

Menurut beliau, pengetahuan dan pemahaman agama yang tinggi merupakan asas sebelum seseorang itu menyebarkan mesej atau tafsiran berkaitan Islam.

"Kita mesti berilmu khususnya ilmu nak menyampaikan mesej Islam kepada orang Melayu Islam sendiri.

"Muslimat perlu berilmu dan faham, jangan berilmu sahaja tapi tak faham. Kalau tak ada ilmu, tapi buat faham sendiri pun tak boleh," katanya ketika merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat di sini, Rabu malam.

Selain itu Abdul Hadi turut menyentuh secara ringkas mengenai konsep kebebasan beragama tanpa paksaan yang diperkenalkan Islam.

"Kita perlu perkenalkan Islam kepada masyarakat bukan Islam...ajak mereka kepada Islam tanpa paksaan.

"Tapi kalau mereka (bukan Islam) tak mahu masuk Islam, perkenalkan kepada mereka konsep Islam adil untuk semua," katanya.

Kenyataan itu dilihat terarah kepada perkembangan semasa membabitkan pemimpin sekutu pakatan pembangkang apabila mengeluarkan pandangan mengenai kebebasan beragama di negara ini.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan kenyataan yang didakwa menyokong murtad di kalangan masyarakat Melayu beragama Islam.

Baru-baru ini pada forum 'Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab', Nurul Izzah dilaporkan menegaskan bahawa setiap rakyat di dalam negara ini tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama-agama tertentu.

Kenyataannya itu dilaporkan portal berita berbahasa Inggeris yang menyatakan bahawa rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan ia juga terpakai secara sama rata kepada orang Melayu.

Lebih kontroversi apabila ahkbar Utusan Malaysia kemudiannya memetik dan menyiarkan semua kenyataan Nurul Izzah pada Isnin.

Bagaimanapun selepas dikritik pelbagai pihak, Nurul Izzah mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa beliau menyokong gejala murtad.

Artikel Lain