suria

Hanya Mereka Yang Bertauliah Boleh Sampaikan Khutbah - JAIPK

IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) mengingatkan semua jawatankuasa masjid di seluruh negeri memastikan supaya mereka yang bertauliah sahaja dibenar menyampaikan khutbah.

Pengarah JAIP Datuk Mohd Yusop Husin berkata setiap khutbah perlu mengikut teks yang dikeluarkan oleh JAIPK sahaja.

"Sekiranya masjid ingin menjemput sesiapa sahaja individu untuk memberikan khutbah, ia perlu mendapat kebenaran bertulis daripada pihak kami," katanya kepada pemberita selepas majlis penganugerahan tauliah kepada pegawai masjid daerah Kinta, Kampar dan Batang Padang di Institut Tadbiran Islam di sini, Jumaat.

Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah berkenaan menyampaikan watikah tauliah itu kepada 399 imam dari 144 masjid di ketiga-tiga daerah itu.

Mohd Yusop berkata JAIPK menerima aduan berhubung perkara itu dan setakat ini terdapat empat kes diberi amaran dan diminta memberi tunjuk sebab.

Beliau berkata individu yang tidak bertauliah dan pihak yang menjemput boleh didakwa di bawah Kaedah-kaedah Pegawai Masjid 1998 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum enam bulan penjara dan denda maksimum RM1,000.

Mohd Yusop berkata pada masa ini sebanyak 1,664 imam berkhidmat di Perak dengan 50 peratus daripadanya berusia di bawah 40 tahun.

Beliau berkata JAIPK turut melatih imam-imam pelapis berusia di bawah 40 tahun supaya mereka boleh mengisi kekosongan itu selain membuat program bagi memilih imam muda. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain