suria

Tekanan Makin Memuncak Dan Ugutan Bunuh Dalam Pilihan Raya Kampus

PETALING JAYA: Tekanan yang semakin memuncak pada pilihan raya kampus tahun ini, dengan para pemimpin pelajar mendakwa mereka menerima ugutan dan ancaman bunuh.

Pengerusi Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, Ahmad Shukran Shaharudin berkata, beliau dan keluarganya di Kedah menerima panggilan berbaur ugutan sejak pagi Ahad.

“Kami menerima beberapa panggilan sejak pukul 6.20 pagi dan pemanggil misteri itu dikatakan tahu semua butiran peribadi saya seperti alamat rumah dan nombor telefon bimbit.

“Pemanggil itu memberitahu ibu bapa saya yang saya akan dibunuh sekiranya saya tidak menarik diri daripada pilihan raya (kampus),” dakwanya

Ahmad Shukran menambah, ibu bapanya membuat laporan di Balas Polis Sungai Tiang di Kedah, manakala beliau membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi.

Ahmad Shukran kemudiannya mendakwa bahawa empat rakannya yang merupakan calon dan keluarga mereka turut menerima panggilan telefon seumpamanya.

“Semua ancaman memberi maksud tersirat bahawa calon-calon akan dicederakan dalam satu cara atau apa cara sekiranya masih mahu bertanding dalam pilihan raya (kampus). Calon-calon yang lain dan keluarga mereka turut sudah membuat laporan polis,” katanya.

“Keluarga kami begitu bimbang dengan keselamatan kami, tetapi kami masih dengan pendirian kami untuk menjadi calon pilihan raya.”

Sementara itu, Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Edikoup Lakip Sedivanto mendakwa beliau diugut oleh tiga gangter di kediamannya di sini pada pukul 4 pagi Ahad.

“Mereka tidak mahu memberitahu saya siapa mereka, atau kenapa mereka datang berjumpa saya.

“Apa yang mereka katakan adalah saya perlu tahu apa yang saya lakukan adalah salah; saya tidak pasti sama ada insiden itu mempunyai kaitan dengan penglibatan saya dalam politik pelajar,” kata beliau yang merupakan pelajar Universiti Malaya.

Edikoup Lakip menambah, beliau telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Pilihan raya kampus pada tahun ini merupakan yang pertama kali diadakan sejak pindaan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU).

Dua kumpulan utama pelajar bersaing dalam pengundian iaitu Pro-Mahasiswa yang dikatakan sebagai anti-establishment, dan Pro-Aspirasi, yang dikatakan sebagai pro-kerajaan.

Sejak 2008, semua naib canselor telah diberikan kuasa autonomi untuk menentukan tarikh pilihan raya kampus.

Pro-Aspirasi menyapu bersih di Universiti Teknologi Mara, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Teknikal Malaysia Melaya pada 21 September lalu.

Sebanyak 15 universiti yang lain akan mengadakan pilihan raya mereka pada Selasa.

Artikel Lain