suria

Tubuh Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah - Radzi

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah menyarankan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah Malaysia bagi memberi kuasa sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melantik dan memecat kakitangan sendiri.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusi taklimat bersama SPRM, Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad berkata, sebelum ini Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) merupakan agensi kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap lantikan dan pemecatan kakitangan awam dibawah suruhanjaya tersebut.

Justeru, beliau berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan mengusulkan di Dewan Rakyat supaya suruhanjaya itu ditubuhkan dan diberi kuasa sepenuhnya untuk mengambil tindakan terhadap anggotanya termasuk bagi pengambilan kakitangan baru sebelum ini diuruskan agensi kerajaan.

"Sekiranya badan bebas ini ditubuhkan dan kuasa sepenuhnya diberikan kepada SPRM, maka JPA tidak boleh memecat jawatan pesuruhjaya seperti Ketua Hakim dan perlu melalui proses Tribunal terlebih dahulu.

"Bagaimanapun, bagi membolehkan suruhanjaya tersebut ditubuhkan, undang-undang Perlembagaan sedia ada perlu dipinda kerana memerlukan sokongan majoriti dua pertiga ahli parlimen," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kangar.

Difahamkan, seramai 7 anggota dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah selepas SPRM ditubuhkan pada 2009 lalu.

Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dianggotai Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, Datuk Abdul Rahman Dahlan (Kota Belud), Datuk Ismail Abdul Mutalib (Maran).

Selain itu, Dr Tan Seng Giaw (Kepong), Salahuddin Ayub (Kubang Kerian), Mohd Yusmadi Mohd Yusoff (Balik Pulau) dan Senator Datuk Doris Sophia Brodi.

Difahamkan, terma rujukan jawatankuasa itu merangkumi menasihati Perdana Menteri terhadap perkara-perkara berkaitan dengan masalah rasuah di Malaysia:

1. Menerima dan mengkaji laporan tahunan yang dibentangkan oleh Suruhanjaya.

2. Menerima dan mengkaji ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah.

3. Mendapatkan penjelasan daripada Suruhanjaya mengenai kandungan laporan tahunan dan ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah.

4. Mengemukakan laporan tahunan mengenai aktiviti jawatankuasa kepada Perdana Menteri untuk dibentangkan di kedua-dua dewan.

Artikel Lain