suria

Lima Rumah Musnah Dalam Kebakaran Di Sibu

SIBU: Lima buah rumah kayu di tebing Sungai Igan, Kampung Nangka di sini musnah, manakala lima lagi mengalami kerosakan dalam kebakaran yang berlaku awal pagi Isnin.

Bagaimanapun, tidak ada kematian dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian yang membabitkan kira-kira 90 penghuni itu.

Jurucakap Bilik Gerakan Balai Bomba dan Penyelamat Sibu memberitahu Bernama pihaknya menerima panggilan daripada Pusat Gerakan Operasi negeri pada 4.52 pagi berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Operasi Abang Kamalludin Abg Hamdan berkata, tiga jentera, termasuk dari Balai Bomba Sungai Merah, dengan kekuatan anggota 22 orang dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kami tiba di tempat kejadian pada jam 4.59 pagi dan mendapati rumah yang mula-mula terbakar sudah musnah. Semasa kejadian, angin bertiup agak kuat mengakibatkan api merebak cepat dan memusnahkan empat buah rumah lagi.

"Bagaimanapun, lima rumah berjaya diselamatkan daripada musnah. Api dapat dikawal daripada merebak dalam tempoh 15 minit," katanya sambil menambah kebakaran itu berjaya dipadam pada kira-kira 7.45 pagi.

Dalam pada itu, Pegawai Penyiasat Bomba dan Penyelamat Sibu Terry Robson ketika dihubungi berkata setakat ini, pihaknya sedang melakukan siasatan terperinci berhubung punca sebenar kebakaran, dan jumlah kerugian. - BERNAMA

Artikel Lain