suria

Tiket Bas Transit Masih Ada - Tengku Hasmadi

PETALING JAYA: Warga kota yang merancang untuk pulang ke kampung pada saat akhir bagi menyambut Aidilfitri tidak perlu bimbang kerana tiket bas ekspres bagi perjalanan secara transit masih ada.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Konsortium Transnasional Berhad (KTB), Tengku Hasmadi Tengku Hashim berkata, walaupun tiket untuk laluan secara terus sudah habis dijual, orang ramai masih boleh membeli tiket untuk perjalanan secara transit.

"KTB menyediakan perkhidmatan bas ekspres bagi jarak pendek dan panjang. Tiket perjalanan bagi destinasi jarak pendek masih banyak manakala jarak panjang sudah habis dijual.

"Walaupun tiket laluan terus dari Kuala Lumpur (KL) ke Kota Baru (KB), Kelantan sudah habis, pengguna masih berpeluang berhari raya di kampung dengan membeli tiket transit iaitu dari KL - Kuantan - KB," katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata, pengguna laluan transit perlu bijak menyusun waktu perjalanan mengikut jadual perjalanan bas bagi mengelak tertinggal bas atau menunggu lebih lama untuk bas seterusnya.

Menurutnya, sempena Aidilfitri kali ini, KTB menyediakan 40,000 tiket bagi perjalanan ke semua destinasi di seluruh Semenanjung setiap hari yang merangkumi ketiga-tiga perkhidmatan bas ekspres di bawah KTB iaitu Plusliner, Transnasional dan Nice.

"Untuk hari biasa , KTB hanya menyediakan 31,000 tiket saja bagi semua destinasi setiap hari. Tapi, kita tambah trip bagi laluan yang mendapat permintaan tinggi sempena Aidilfitri," katanya.

Tengku Hasmadi berkata, antara laluan paling popular dan merekodkan permintaan tertinggi di kalangan penumpang adalah KB, Kuala Terengganu, Alor Setar (Kedah) dan Johor Baru.

"Tiket bas ke destinasi tersebut laris dan habis dijual sejak awal lagi. Bagi menampung peningkatan permintaan, kesemua 700 bas milik KTB akan digunakan dengan pertambahan trip setiap minggu," katanya.

Lebih menarik, Tengku Hasmadi berkata, pengguna bas ekspres KTB akan dilindungi di bawah skim insurans Lindungan Mesra Selalu (LMS) dengan caj 20 sen untuk setiap tiket bagi semua destinasi.

"Ia merangkumi insurans untuk kemalangan, kematian, pembedahan atau kehilangan bagasi. Caj yang dikenakan memang berbaloi untuk setiap penumpang," katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan ulat tiket bagi mendapatkan tiket bas ekspres atau bas tambahan di mana-mana terminal atau luar kawasan terminal pengangkutan.

"Belilah tiket melalui kaunter penjualan tiket KTB atau menerusi sistem e-ticketing bagi mengelak berlakunya penipuan dan caj harga tiket yang berlebihan," katanya.

Artikel Sebelum

Warga Iran Maut Ditikam

Artikel Lain