suria

Tukar Tema Hari Kebangsaan "Janji Ditepati" Kepada Tema Lebih Inklusif - Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat pada Selasa, menggesa kerajaan menukar tema Hari Kebangsaan 2012 "Janji Ditepati" kepada tema yang lebih bersifat inklusif.

Keputusan ini dibuat selepas mesyuarat Majlis Pimpinan pakatan pembangkang yang dipengerusikan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali bersetuju bahawa tema tersebut tidak bersifat kemerdekaan.

"Kita minta kerajaan tukar tema tahun ini kepada tema yang merangkumi semangat kemerdekaan.

"Tema yang ditetapkan mestilah inklusif dan dapat diterima oleh seluruh rakyat Malaysia," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat di bangunan ibu pejabat PAS, dekat sini, Selasa.

Hadir sama Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah, Tian Chua dan Pengerusi DAP Teresa Kok.

Mustafa berkata mesyuarat juga bersetuju memberikan tempoh seminggu kepada kerajaan untuk mempertimbangkan seterusnya menukar tema tersebut kepada tema yang lebih sesuai.

Beliau menambah, tema tersebut adalah tidak munasabah untuk Malaysia, sebuah negara demokrasi kerana ia merupakan slogan parti Barisan Nasional (BN).

"Tema tahun ini sangat teruk dan tak munasabah. Itu (tema) slogan BN...Bagaimana boleh jadi tema untuk sebuah negara. Orang tengok tema kepala terus ingat BN.

"Kita bagi seminggu kepada kerajaan...kalau tak tukar juga kita sendiri akan bawa tema lain yang lebih bersifat menyeluruh," tegasnya.

Mengulas lanjut Mustafa berkata dalam perkara ini Pakatan sentiasa menghormati kerajaan yang mempunyai kuasa membuat keputusan untuk memutuskan tema Hari Kebangsaan di negara ini.

Bagaimanapun katanya, sekiranya kerajaan gagal mendapat tema lain yang dipersetujui semua pihak, Pakatan bersedia memberikan bantuan.

"Kita benarkan dan hormati keputusan kerajaan yang tentukan tema. Tapi janganlah buat tema yang tak mencerminkan semangat kemerdekaan.

"Kalau tidak tukar juga, kita akan bantu beri cadangan (tema) yang boleh memberi tindak balas kepada semangat nasional," katanya.

Dalam pada itu beliau turut menyentuh tentang 48 peratus rakyat negara ini yang terdiri daripada penyokong Pakatan.

Beliau membayangkan jika kerajaan tidak menukar tema, golongan tersebut tidak dapat bersama menghayati Hari Kemerdekaan tahun ini.

"Kalau tidak, terserah kepada rakyat untuk suka tema asal atau yang kita cadangkan," katanya.

Artikel Lain