suria

NGO: Hentikan Pembersihan Hutan Di Bukit Kiara

KUALA LUMPUR: Kadar penebangan pokok dan aktiviti pembersihan hutan di taman rekreasi Bukit Kiara yang membimbangkan menimbulkan kerisauan di kalangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk berhampiran.

Mereka meminta Jabatan Landskap Negara (JLN) supaya mengeluarkan arahan supaya menghentikan kerja yang dilakukan oleh kontraktor terlibat serta-merta.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Sekitar, Prof Dr Maketab Mohamed mendakwa kontraktor berkenaan telah menebang, membersih atau membakar kawasan hutan seluas 4.7 kilometer, sementara enam lot lagi telah ditutupi oleh pagar setinggi 3.5 meter di dalam taman itu.

Beliau menambah, pagar tersebut merupakan sebahagian daripada rancangan bagi meningkatkan keselamatan untuk pelawat, akan menghalang pergerakan hidupan liar.

“Ratusan pokok besar telah ditebang dan beberapa hektar tanah telah diratakan untuk pembinaan pagar dan jalan raya di kawasaan seluas kira-kira 2.8 hektar,” katanya pada Ahad.

Dr Maketab berkata, tiada rundingan dibuat dengan pihak berkepentingan dan NGO pemuliharan hutan sebelum pagar itu didirikan.

Beliau berkata, semasa taklimat terperinci oleh JLN bersama dengan beberapa NGO mengenai cadangan pemeliharaan Bukit Kiara pada 15 Mei lalu, terdapat persetujuan supaya lebih banyak perbincangan diperlukan supaya mereka akan dimaklumkan mengenai kerja-kerja tersebut dan pembentangan pandangan dapat dilakukan untuk kerja dan rancangan akan datang bagi memeliharanya.

“Kami mahu JLN berunding dengan wakil penduduk setempat sebagai janji mereka sebelum memulakan sebarang pembangunan,” tambahnya.

Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Sekitar Selangor, Henry Goh berkata, kira-kira 3,000 orang mengunjungi Bukit Kiara setiap hari untuk bersenam, dan bilangan itu berganda pada hujung minggu.

Goh berkata, rakan-rakan NGO di Bukit Kiara telah menganjurkan beberapa program untuk meningkatkan kesedaran mengenai kawasan hijau itu di Lembah Klang.

Antaranya adalah “Awareness Walk” pada 15 Julai ini, manakala terdapat 6,000 tandatangan telah dikumpulkan dan 1,000 kemeja-T “Selamatkan Bukit Kiara” telah dijual.

“Semua tandatangan itu akan diberikan kepada Menteri Perumahaan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung atau wakilnya sekiranya aktiviti itu berjalan seperti yang dirancang. Kami sedang mendapatkan permit untuk menganjurkan program itu dan berharap agar ia diluluskan,” katanya.

Artikel Lain