suria

Warga Myanmar Didakwa Samun 18 Telefon Bimbit Bernilai RM12,500

KUALA LUMPUR: Seorang pemungut sampah warga Myanmar pada Selasa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menyamun 18 telefon bimbit membabitkan kerugian RM12,500 di sebuah kedai telekomunikasi di Sentul, di sini bulan lepas.

Sahad Nolamin, 32, bersama sembilan orang lagi yang masih bebas, didakwa melakukan samun berkumpulan dengan bersenjatakan besi, parang dan tukul besi.

Sahad, yang ditangkap pada 19 Jun lepas, dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah kedai telekomunikasi di Jalan 2/3A Pusat Bandar Utara, Sentul di sini pada 9 malam 17 Jun lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya Suzanne Tiyon Bimen dengan alasan tertuduh merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) yang palsu.

"Tertuduh juga telah didakwa di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan memiliki kad UNHCR yang palsu dan turut dituduh memasuki Malaysia tanpa dokumen atau pas yang sah," katanya.

Hakim K.M Nithiyanantham tidak memberikan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 14 Ogos untuk sebutan bagi membolehkannya melantik peguam. - BERNAMA

Artikel Lain