suria

Politeknik Tawar Program Kemahiran Kepada Golongan Pekerja

IPOH: Tiga puluh buah politeknik di seluruh negara menawarkan program 'reskilling and upskilling' kepada golongan pekerja untuk mengikuti 35 kursus jangka pendek, panjang dan spesfik bagi meningkat kemahiran mereka serta mendapat ilmu pengetahuan baru.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya menyasar 15,000 pekerja akan mengambil peluang mengikuti kursus yang ditawarkan itu dengan kos latihan paling rendah berbanding kursus yang ditawarkan swasta.

"Kita perluaskan program ini supaya dapat mengukuhkan dan memberi peluang kepada golongan pekerja serta membantu meningkatkan lagi kemahiran mereka.

"Ini penting, kita bukan hanya mahu memenuhi tuntutan negara malah kita mampu tingkatkan kemampuan negara untuk bersaing dalam dunia global di mana rakyat perlu melalui proses pembaharuan dan pencapaian kemahiran dan ilmu pengetahuan baru," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Terdahulu beliau melancarkan program 'Reskilling and Upskilling' Politeknik di Politeknik Ungku Omar di sini.

Mohamed Khaled berkata pada masa sekarang, 23 daripada 30 politeknik bersedia menawarkan 35 program kepada golongan pekerja dan jumlah politeknik itu akan bertambah apabila setiap politeknik menentukan program masing-masing.

"Tidak ada sebab para pekerja di negara kita berada di paras kemahiran yang sama dan pendapatan yang tidak berubah sejak bekerja. Tidak ada sebab bagi pihak industri katakan peluang untuk pekerja meningkatkan kemahiran tidak ada kerana kita menyediakan peluang itu melalui program ini," katanya.

Beliau berkata semua politeknik perlu menentukan kursus serta program latihan yang sesuai dan menjadi keperluan pasaran, selain perlu sentiasa berusaha supaya setiap program yang ditawarkan mendapat pengiktirafan daripada badan profesional tertentu.

Pengiktirafan itu adalah supaya golongan pekerja yang menerima latihan di bawah program itu diiktiraf dan diterima oleh pasaran bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa, katanya.

Mohamed Khaled berkata ia termasuk peluang pekerja dinaikkan gaji selepas memperbaharui dan memperbaiki kemahiran mereka kerana industri melihat mereka sebagai aset yang menguntungkan syarikat.

Beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Sumber Manusia supaya kos kursus atau program latihan yang diikuti oleh pekerja dapat dibiayai oleh Tabung Pembangunan Sumber Manusia.

Sementara itu dalam ucapannya, beliau berkata program Reskilling and Upskilling itu merupakan usaha melonjakkkan peranan politeknik selain komitmen dalam melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi untuk keperluan pembangunan, kemajuan dan transformasi negara.

"Bidang tujahan hendaklah dibangunkan oleh setiap politeknik dan paling penting ia mesti berkait rapat dan menyumbang kepada pelaksanaan 12 aktiviti Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA)," katanya.

Menurut beliau, tenaga kerja dalam negara perlu sentiasa diperbaharui dan dipertingkatkan kemahiran mereka supaya tidak terhenti kepada kemahiran sedia ada, lebih-lebih lagi mereka perlu berdepan dengan perkembangan teknologi yang memerlukan penguasaan kepakaran baharu dan terkini.

Beliau berkata negara memerlukan sebanyak 33 peratus pekerja mahir pada 2015, iaitu peningkatan sebanyak lima peratus daripada 28 peratus jumlah pekerja ketika ini, dengan jumlah pekerja keseluruhan adalah sebanyak 11.8 juta pada 2010. - BERNAMA

Artikel Lain