Mengapakah Debat KJ Makin Mendapat Perhatian Ramai? - Semasa | mStar

Mengapakah Debat KJ Makin Mendapat Perhatian Ramai?

KHABARNYA debat dan pidato yang disertai oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Sdr Khairy Jamaluddin kini semakin mendapat perhatian ramai.

Ketika beliau berdebat dengan Pengerusi Bersih 3.0, Datuk S. Ambiga pada 26 April lalu, Khairy telah mengemukakan hujah-hujah dan fakta yang bernas.

Pidatonya mendapat tepukan gemuruh. Khabarnya juga, selepas perdebatan antara beliau dengan Ambiga selesai, Perdana Menteri telah bertanya kepada para stafnya sama ada perdebatan itu boleh diikuti menerusi laman You Tube.

Tidak lama sebelum itu dalam satu sesi dialog yang dianjurkan oleh sebuah media berbahasa Inggeris berhubung isu halatuju politik generasi muda yang melibatkan Khairy dengan ahli Parlimen DAP, Tony Phua, lebih 250 remaja dari pelbagai latar belakang keturunan telah mengikuti sesi berkenaan.

Berbeza dengan persepsi popular, setiap kali Khairy selesai sahaja berhujah beliau telah diberi tepukan gemuruh oleh sebahagian besar pendengar bukan Melayu.

Kemudian pada suatu malam ketika penulis selesai menghadiri satu majlis makan malam di Sri Hartamas, dalam perjalanan balik ke tempat letak kereta, penulis terdengar seorang yang bersuara seakan-akan Khairy Jamaluddin sedang berhujah dari dalam sebuah kafe.

Apabila penulis menghampiri kafe berkenaan, penulis melihat orang itu memang Khairy dan bersama-samanya terdapat lebih kurang 50 orang pemuda yang kelihatan dari pelbagai latarbelakang kaum sedang berdialog dengannya.

Dari risikan penulis, jelaslah, kumpulan pemuda pelbagai kaum yang sedang berhujah dengan Khairy itu bukanlah sebarangan orang.

Mereka adalah eksekutif muda yang berkhidmat dengan bank-bank terkemuka, firma-firma guaman, firma akauntansi, syarikat-syarikat yang disenaraikan dan juga syarikat-syarikat GLC.

Mereka didapati berhujah dengan Khairy dengan bebas dan Khairy pula menjawab pertanyaan-pertanyaan mereka dengan bernas dan fakta.

Penulis duduk di situ selama sejam memerhati perbincangan mereka yang dibuat secara terbuka tanpa ada sekatan dan halangan.

Dan penulis perlu mengucapkan syabas kepada Khairy kerana pertama, dia benar-benar memahami dan melayani rasa ingin tahu generasi muda yang terpelajar dengan fakta dan bukannya emosi.

Kedua, dia sanggup melapangkan masa untuk berhujah dan bertukar-tukar pandangan dengan mereka.

Dan ketiga, dia telah membuka dirinya kepada mereka. Jika mereka mahukan seorang pemimpin masa depan yang sedia mendengar dan berkongsi pandangan, orangnya ialah Khairy Jamaluddin.

DEBAT TERKINI

Kini setelah tertangguh dari jadual asalnya 3 Mei lalu, debat Khairy yang seterusnya dengan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli mengenai isu PTPTN akan diteruskan pada Selasa, 22 Mei depan, jam 10 malam di ibu pejabat Kumpulan Media Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam.

Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Jalil Ali sendiri telah mengesahkan bahawa debat itu akan berlangsung pada tarikh baru yang ditetapkan itu.

Bagaimanapun beliau siang-siang lagi mengingatkan bahawa tempat duduk hanya terhad kepada 400 orang penonton sahaja.

Mereka yang tidak dapat hadir boleh ikuti debat berkenaan menerusi siaran langsung menerusi saluran Astro Awani dan Bernama Radio24.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Manchester United sedia pujuk Pogba