suria

Dr Mahathir Minta Rakyat Fikir Natijah Jatuhkan Kerajaan Melalui Kekerasan

ALOR SETAR: Tun Dr Mahathir Mohamad meminta rakyat di negara ini mempertimbangkan sebaik-baiknya natijah menjatuhkan kerajaan menerusi rusuhan dan kekerasan, seperti yang cuba dilakukan pembangkang pada perhimpunan 28 April lepas di ibu kota.

Bekas Perdana Menteri itu juga percaya pembangkang akan terus melakukan pelbagai perkara untuk memburukkan kerajaan selagi matlamat menjatuhkan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak tercapai.

"Mereka nak jadikan Malaysia seperti Mesir, Tunisia yang dijatuhkan melalui rusuhan dan sekarang Syria...bila kerajaan tak jatuh, boleh minta kuasa asing tolong jatuhkan, tak kiralah guna senjata sekalipun.

"Rakyat kena fikir dan tidak boleh benarkan perkara ini berlaku dengan memberi kemenangan besar kepada BN pada PRU (pilihan raya umum) akan datang," katanya pada Wacana Negarawan anjuran Persatuan Bekas Wakil-wakil Rakyat B N(Mubarak), di sini malam Ahad.

Beliau juga percaya Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus melakukan segala usaha yang memburukkan kepimpinan kerajaan bagi memenuhi matlamatnya menjadi perdana menteri.

"Dia disingkirkan kerana ada tabiat buruk. Bila kena buang dia tubuhkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan akan terus membuat bermacam-macam angkara untuk menjadi perdana menteri," katanya.

Sehubungan itu katanya rakyat harus menolak pemimpin pembangkang yang bersikap rakus dan tidak sabar dengan memberikan mandat kepada BN untuk terus meneraju negara pada pilihan raya umum akan datang.

"Nikmat yang dikecapi mentadbir negara sendiri tidak boleh dilepaskan kepada orang yang tidak sabar dan sanggup pula memburukkan negara sendiri," kata Dr Mahathir.

Pada masa yang sama, Bekas Presiden Umno itu turut menasihati pemimpin dan anggota Umno agar membuang sikap "mencantas" orang lain, semata-mata kerana ingin "mengajar" Presiden Umno yang tidak memilih mereka menjadi calon pilihan raya.

Sikap sedemikian kata Dr Mahathir bukan sahaja tidak disukai rakyat, tetapi juga memberi kelebihan kepada pembangkang untuk memenangi pilihan raya.

Turut hadir Pengerusi Mubarak kebangsaan Datuk Seri Abdul Aziz Rahman, Pengerusi Mubarak Kedah Datuk Abdul Rahman Ibrahim dan bekas pemimpin Umno. - BERNAMA

Artikel Lain