suria

Artikel Fitnah: Lynas Saman FMT & Kumpulan Anti Lynas

KUALA LUMPUR: Lynas Corporation Limited dan Lynas Malaysia Sdn Bhd telah memfailkan saman terhadap pengendali portal berita 'Free Malaysia Today (FMT)' dan kumpulan anti Lynas yang dikenali sebagai 'Save Malaysia, Stop Lynas', berhubung artikel memfitnah mengenai Lynas.

Kedua-dua saman itu difailkan secara berasingan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil pada 19 April.

Dalam saman pertama, Lynas Corporation of Sydney, Australia, dan Lynas Malaysia menamakan MToday News Sdn Bhd sebagai defendan manakala dalam saman kedua, mereka menamakan SMSL Sdn Bhd (Save Malaysia, Stop Lynas) dan dua pengarahnya Tan Bun Teet dan Lim Sow Teow sebagai defendan.

Dalam saman itu, Lynas mendakwa FMT pada 6 Mac, menerbitkan artikel memfitnah di laman webnya manakala SMSL menerbitkan artikel memfitnah bertarikh 22 Mac dalam blognya. Lynas memohon ganti rugi am dan ganti rugi teruk, kos dan injunksi bagi menghalang para defendan daripada terus menerbitkan artikel memfitnah mengenai Lynas.

Pihak-pihak berkenaan hari ini berjumpa Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O'Hara di dalam kamar semasa sebutan kes itu. Peguam yang mewakili SMSL, Datuk Bastion Pius Vendargon memberitahu pemberita bahawa hari ini dijadual bagi pendengaran permohonan injunksi ex-parte (sebelah pihak) oleh Lynas untuk menghalang para defendan daripada terus menerbitkan artikel memfitnah mengenai Lynas.

Beliau berkata bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan SMSL agar permohonan injunksi itu didengar secara inter-parte (kedua-dua pihak).

Katanya mahkamah menetapkan 9 Mei bagi pengurusan kes untuk kedua-dua pihak memuktamadkan afidavit dan dokumen berkaitan dengan permohonan injunksi itu. "Selepas itu, mahkamah akan menetapkan tarikh untuk mendengar injunksi inter-parte," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain