suria

Abu Zahar Puji Naib Pengerusi DAP

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang memuji sikap Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang juga Naib Pengerusi DAP yang membantah penganjuran perhimpunan di Dataran Merdeka Sabtu lalu.

"Sukacita saya ucapkan tahniah pada Yang Mulia Tunku Aziz kerana menunjukkan sikap jujur, prinsip tinggi, taat setia pada perlembagaan dan mematuhi undang-undang.

"Ini contoh yang amat baik yang tidak mengira parti mana apabila dilantik sebagai Senator," katanya ketika memulakan sidang Dewan Negara pada Rabu.

Tunku Abdul Aziz secara terbuka membantah perhimpunan tersebut kerana dikhuatiri ia boleh bertukar ganas.

Menurutnya, beliau tidak membantah sebarang perhimpunan aman tetapi secara prinsip, beliau membantah sebarang tindakan yang boleh menjurus kepada pelanggaran undang-undang.

Beliau berkata berdasarkan pengalaman, walaupun demonstrasi sentiasa bermula dengan aman tetapi dalam kebanyakan kes ia mempunyai kecenderungan bertukar ganas.

Abu Zahar berharap Senator lain dapat mencontohi sikap Tunku Abdul Aziz yang secara tidak langsung membolehkan Dewan dihormati masyarakat.

Pada perhimpunan tersebut yang dianjurkan badan bukan kerajaan dan disokong pembangkang di sekitar Dataran Merdeka, telah menjadi ganas hingga menyebabkan kecederaan anggota polis dan wartawan serta kerosakan harta awam. BERNAMA

Artikel Lain