suria

Pinjaman Risda Hingga RM10,000 Kepada Perkumpulan Wanita Pekebun Kecil

KUALA KRAI: Risda akan memberi pinjaman sehingga RM10,000 kepada anggota Perkumpulan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) yang berminat menjalankan aktiviti ekonomi, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad.

Beliau berkata, pinjaman itu diberi bagi memperkasakan PWPK yang dianggotai kaum wanita yang merupakan kira-kira 50 peratus daripada 440,000 pekebun kecil getah di seluruh negara.

"Antara aktiviti ekonomi berkenaan ialah industri kraftangan dengan mereka menjadi pembekal daun getah bagi menghasilkan bunga kertas.

"Pasaran bagi daun getah untuk dijadikan kraftangan tersebut amat tinggi, iaitu berharga RM300 sekilogram," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvensyen Amalan Pertanian Baik Kelantan di Institut Kemajuan Pekebun Kecil (IKPK) Bukit Sireh di sini, Ahad.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pengembangan dan Pemindahan Teknologi Risda, Zahari Mat Amin dan Pengarah Risda Kelantan Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad.

Dalam perkembangan lain, Wan Mohamad Zuki berkata, pada tahun ini, Risda menerima peruntukan sebanyak RM397 juta bagi peruntukan pembangunan pekebun getah dan sawit di seluruh negara.

"Matlamat kita pada tahun ini adalah untuk menanam semula 40,000 hektar getah dan 10,000 hektar sawit. Ia peningkatan yang ketara kerana pada tahun lepas, kita hanya sasarkan sekitar 14,000 hektar sahaja," katanya.

Beliau berkata, Risda juga giat mengadakan Konvensyen GAP di seluruh negara selaras dengan objektif agensi itu supaya pekebun kecil memperolehi pendapatan sekurang-kurangnya RM2,500 sebulan sekeluarga menjelang akhir tahun 2015. - BERNAMA

Artikel Lain