suria

Polis Pulau Pinang Bongkar Makmal Dadah Proses Pil Yaba

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang berjaya membongkar sebuah makmal haram memproses dadah jenis pil yaba atau pil kuda selepas menahan tiga lelaki dan seorang wanita dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Baru Air Itam, di sini Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang Supt S. Batumalai berkata serbuan dilakukan kira-kira 6 petang berdasarkan siasatan dan intipan sepasukan pegawai dan anggota polis bahagian narkotik.

"Semasa serbuan di rumah berkenaan, terdapat tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 23 hingga 54 tahun dan dipercayai mereka merupakan anggota sindiket pengedaran dadah jenil pil yaba," katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

Beliau berkata siasatan ke atas rumah berkenaan mendapati salah satu bilik telah dijadikan sebuah makmal memproses dadah jenil pil yaba.

"Hasil pemeriksaan, kita menemui sebanyak 1,315 biji pil yaba yang turut dikenali sebagai pil kuda dan 649 gram serbuk dadah yaba bernilai RM76,300," katanya.

Batumalai berkata polis turut merampas pelbagai peralatan dan bahan-bahan kimia untuk memproses pil yaba.

Katanya siasatan awal mendapati empat rakan yang ditahan itu aktif menjalankan kegiatan memproses dadah di rumah berkenaan sejak empat bulan lepas.

"Mereka memproses pil berkenaan di rumah itu sebelum menjual dengan harga antara RM15 hingga RM17 sebiji kepada pelanggan di sekitar Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata polis turut menyita sebuah kereta Proton Wira bernilai RM20,000 dalam serbuan berkenaan dan operasi mengesan anggota lain sindiket dadah terbabit sedang giat dijalankan.

Katanya keempat-empat suspek ditahan reman sehingga 19 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain