suria

Warga Turki Ditahan Miliki Syabu

KUALA LUMPUR: Seorang rakyat Turki yang memasuki negara ini sejak 29 Oktober tahun lepas ditahan di sebuah kondominium di Desa Pandan di sini pada Jumaat kerana memiliki dadah jenis syabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, Asisten Superitendan Kang Chez Chiang berkata, ujian air kencing ke atas lelaki Turki berumur 32 tahun itu didapati negatif dadah.

"Dia disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan direman empat hari sehingga hari ini. Turut ditahan, seorang lelaki dan wanita tempatan berumur 27 yang berada di luar rumah rakyat Turki itu.

"Ujian air kencing kedua-dua mereka juga didapati negatif dadah dan mereka disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya kepada Bernama.

Kang berkata, penahanan lelaki Turki itu adalah ekoran tangkapan dua lelaki rakyat tempatan yang berumur 34 dan 41 tahun pada 5.30 petang di sebuah hotel di Jalan Tun Razak di mana polis merampas 2,000 gram syabu dalam bilik mereka.

"Saringan awal mendapati salah seorang dari mereka positif dadah jenis methaphatamin dan kedua-dua mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya.

Kang berkata, kedua-dua lelaki itu yang bekerja sebagai peniaga, disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan direman seminggu sehingga Jumaat ini. - BERNAMA

Artikel Lain