suria

Mardi Cadang Lahir 800 Penternak Untuk Kurang Import Daging

PASIR PUTEH: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bercadang melahirkan 800 penternak moden di seluruh negara bagi mengurangkan pergantungan import daging sebanyak RM180 juta setahun dari luar negara dalam tempoh terdekat.

Timbalan Pengarah Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi MARDI, Dr Mohmad Mustafa berkata, antara projek yang sedang dilaksanakan ialah menggalakkan petani menternak kambing boer yang berpotensi memberi pulangan yang lumayan.

"Mereka mampu memperoleh hasil antara RM3,000 dan RM4,000 sebulan jika menternak 100 ekor kambing boer," katanya kepada pemberita pada majlis penutup dan penyampaian sijil yang dilakukan Pengarah MARDI Kelantan, Aminah Abdullah di Stesen MARDI Jeram Pasu di sini, Khamis.

Seramai 40 penternak kambing dari seluruh Kelantan menyertai latihan penternakan kambing boer modul 11 itu yang membabitkan secara teori dan praktikal.

Dr Mohmad berkata, permintaan daging kambing bagi keperluan negara adalah tinggi iaitu sebanyak 250,000 metrik tan setahun yang masih belum mampu dibekalkan oleh penternak tempatan sehingga terpaksa mendapatkan bekalan daging biri-biri dari Australia yang sebahagiannya mengandungi kadar kolestrol yang tinggi berbanding mutu daging kambing boer yang diternak di negara ini.

Beliau berkata, industri penternakan kambing dijangka berkembang pesat di negara ini dengan pertumbuhan pada kadar 6.7 peratus setahun dalam tempoh 2006 hingga 2010.

Katanya, minat pengusaha tempatan menternak kambing juga semakin berkembang berikutan dasar kerajaan yang menggalakkan pertumbuhan ternakan kambing ini menerusi saluran bantuan pendidikan, seminar dan kursus serta bantuan baka berkualiti.

Dr Mohmad berkata, antara pendidikan yang akan disampaikan kepada penternak membabitkan pendidikan kawalan penyakit, pemilihan baka yang berkualiti, proses pembiakan baka dan latihan amali.

"Latihan itu juga termasuk penggunaan alat menanda kekerapan kambing mengawan, kaedah memotong kuku kambing serta rawatan mengunakan teknologi 'GenKimo'" katanya. Beliau yang juga pakar dan Pengawai Penyelidikan Prinsipal Kanan berkaitan teknologi penternakan MARDI berkata, polisi pengeluaran kambing kebangsaan mensasarkan pengeluaran 4.96 juta ekor dengan 1.99 juta penternak untuk penternakan kambing menjelang 2015 boleh dicapai menerusi promosi, pendidikan dan latihan serta mengubah cara penternakan dari konsep sara diri dan kegemaran kepada projek penternakan komersil yang produktif.

Katanya, di Kelantan, dua pusat pendidikan sehenti berkaitan perternakan kambing boer yang membuka peluang kepada penternak untuk mengikuti kursus yang diadakan ialah di Stesen MARDI Jeram Pasu, di sini dan di Stesen MARDI Sungai Aring, Jeli. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain