suria

Keengganan Faham Adat Resam Penyebab Tiada Sensitiviti Terhadap Kaum Lain - Mashitah

KUALA LUMPUR: Keengganan segelintir pihak untuk memahami adat resam serta kepercayaan masyarakat lain adalah antara penyebab meningkatnya kejadian masyarakat masih tidak faham sensitiviti serta budaya kaum lain.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata keadaan itu diburukkan lagi oleh perbuatan pihak tertentu yang cuba merosakkan perpaduan dengan menunjukkan perangai tidak elok.

Kesudahannya, semua pihak yang tidak terlibat turut menerima tempias, katanya ketika ditemu ramah dalam program "Dalam Radar" terbitan Bernama Radio24, pada Khamis.

Mashitah berkata situasi sedemikian boleh ditangani dengan baik sekiranya semua pihak itu dapat duduk bersama berbincang dan memahami antara satu sama lain.

"Sepatutnya, dalam hal sebegini kita harus mengadakan penerangan dan perbincangan secara terbuka untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit. "Malangnya, apa yang kita dapat lihat sekarang ialah wujudnya tohmahan-tohmahan tidak berasas yang hanya akan merumitkan lagi keadaan," katanya.

Mashitah berkata demikian sebagai mengulas mengenai berleluasanya insiden-insiden membabitkan masyarakat tidak memahami sensitiviti kaum lain di negara ini yang dilihat mampu merosakkan keharmonian kaum yang terjalin selama ini.

Pada masa sama, beliau turut menggesa semua pihak untuk tidak terlalu mempolitikkan semua perkara.

Jika semua perkara dilihat dari sudut politik semata-mata, terdapat kemungkinan banyak perkara penting akan terlepas pandang, katanya.

Mashitah berkata banyak isu penting selain politik yang menuntut perhatian pihak berwajib seperti isu kejiranan, kemasyarakatan, dan keselamatan.

"Disebabkan amalan politiking yang keterlaluan inilah yang menyebabkan tergurisnya perpaduan, hilangnya persefahaman dan akhirnya kita semua tidak boleh menerima antara satu sama lain. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Wanita Terbunuh Dirempuh Kereta

Artikel Berikut

Artikel Lain