suria

Anwar: Iktiraf Israel Adalah Selari Dengan Kehendak Rakyat Palestin Yang Inginkan Kedamaian

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetap dengan pendirian untuk mengiktiraf kewujudan negara Israel dan sekaligus menyokong usaha penyelesaian dua negara dalam isu Palestin-Israel itu.

Malah tegas beliau, pengiktirafan terhadap Isreal itu dibuat berasaskan kepada kehendak rakyat Palestin sendiri yang mahu mewujudkan keamanan dan memberikan keadilan kepada mereka seperti yang dipersetujui Hamas dan Fatah.

Kata Anwar beliau faham, walaupun pendirian berkenaan bertentangan dengan sekutunya daripada PAS yang menyifatkan kewujudan negara Israel adalah haram, namun ia dibuat demi membela nasib rakyat Palestin.

"Saya hargai pandangan dan semangat sahabat-sahabat dari PAS, Majlis Syura PAS dan seluruh gerakan dakwah dan pertubuhan Islam yang berterusan membela nasib rakyat Palestin.

"Saya memahami perbezaan pendirian PAS dengan PKR. PAS berpendirian kewujudan negara Israel adalah haram dan mereka tidak berhasrat untuk mengadakan sebarang rundingan serta kerjasama dengan Israel.

"Walaupun begitu Parti Keadilan Rakyat berkongsi hasrat dengan PAS untuk melihat tertegaknya sebuah negara Palestin yang merdeka, bebas dan makmur, yang juga merupakan hasrat seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keadilan," katanya di sini, Khamis.

Tegas beliau lagi, sokongan seumpama itu bukan satu pengkhianatan terhadap perjuangan rakyat Palestin menentang kezaliman Israel.

"Saya yakin bahawa aspirasi rakyat Palestin yang mengambil kira kepayahan seharian mereka seperti yang disuarakan oleh pimpinan-pimpinan mereka wajib dijunjung dan dihargai.

"Semangat setiakawan rakyat Malaysia yang selari dengan aspirasi itu bukanlah satu pengkhianatan kepada perjuangan mereka, sebaliknya menjadi dokongan utama kepada usaha mewujudkan keamanan dan memberikan keadilan kepada rakyat Palestin.

Baru-baru ini, Anwar dalam temu bual bersama The Wall Street Journal (WSJ) memberitahu, beliau menyokong segala usaha untuk menjamin keselamatan Israel sekali gus, mengundang kecaman daripada pelbagai pihak.

Tindakan Anwar itu turut memaksa Majlis Syura Ulama PAS melalui Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengeluarkan gesaan agar beliau menarik balik kenyataannya atau menyaman WSJ sekiranya kenyataan itu diputar-belitkan.

Malah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menyatakan pendirian rasmi parti itu bahawa mereka tidak mengiktiraf negara Israel yang dianggap sebuah negara haram serta menolak sebarang bentuk kerjasama termasuk penyelesaian dua negara Palestin-Israel.

Bagaimanapun jelas Anwar, pengiktirafannya terhadap Israel dibuat bersandarkan persetujuan agar tentera Israel berundur dari tanah Arab serta menghentikan keganasan terhadap rakyat Palestin.

"Pengiktirafan negara Israel tertakluk selagi mana Israel menghormati kedaulatan wilayah dan keselamatan rakyat Palestin sebagaimana yang tertera dalam persetujuan bersama Hamas dan Fatah di Doha.

"Persetujuan tersebut antaranya mengungkapkan dokongan terhadap aspirasi rakyat Palestin, pengunduran tentera Israel dari tanah Arab, menghentikan keganasan dan memperakui kewujudan Palestin.

"Seandainya ini dihormati maka kewujudan Israel akan diiktiraf. Inilah juga semangat yang terkandung dalam kenyataan saya sebelum ini," kata Anwar.

Artikel Sebelum

Wanita Terbunuh Dirempuh Kereta

Artikel Berikut

Artikel Lain