suria

PKR Bidas SPR Kaitkan Cukai Dan Undi

PETALING JAYA: Cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menghadkan kelayakan rakyat Malaysia yang berada di luar negara mengundi secara pos disifatkan sebagai langkah kebelakang serta tidak demokrasi.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Elizabeth Wong berkata, tindakan menghubungkaitkan antara cukai dan proses mengundi dilihat seolah-olah pilihan raya sebagai satu keistimewaan dan bukannya hak sebagai warganegara.

"Dengan menafikan hak rakyat Malaysia yang terkandung dalam perlembagaan, SPR sekali lagi menunjukkan kesamaran dalam proses demokrasi.

"Menghubungkan cukai dengan mengundi ia seolah-olah mewujudkan segmen dalam masyarakat termasuk pelajar, golongan belia dan orang miskin.

"Walaupun buat masa ini cadangan itu hanya terhad kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara, tapi ia mencerminkan sikap SPR bahawa proses mengundi adalah satu keistimewaan," katanya di sini, Khamis.

Wong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bahawa suruhanjaya itu akan mencadangkan agar rakyat Malaysia di luar negara yang membayar cukai sahaja dibenarkan mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

Mengulas lanjut, Wong berkata, sikap SPR itu akan mewujudkan perkembangan politik yang bahaya apabila cuba menafikan hak warganegara Malaysia untuk mengundi.

"SPR sepatutnya mengukuhkan demokrasi dengan menggalakkan lebih ramai rakyat untuk turut serta dalam proses mengundi dan bukannya hanya meletakkan hak mengundi kepada beberapa golongan elit," katanya lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain