suria

Amaran Keras Jika Hidupkan kembali Al-Arqam

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuba menghidupkan kembali gerakan Al-Arqam yang diharamkan pada 1994 atau menyebarkan ajaran yang bertentangan dengan Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata semua Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia akan terus memantau gerakan berkenaan termasuk aktiviti Kelab Taat Suami (KTS) yang baru-baru ini diserbu pihak berkuasa semasa sedang menganjurkan satu program.

Program KTS itu dikatakan bermatlamat menangani gejala seks dalam masyarakat dengan mengaitkan nama Rasulullah secara langsung dengan isu seks.

Jamil Khir berkata cubaan untuk menggerakkan kembali ajaran yang bertentangan Islam akan sentiasa didedahkan kepada masyarakat supaya mereka lebih berwaspada, sekaligus memberi isyarat kepada pihak terlibat bahawa gerakan mereka sedang diperhatikan.

"Apabila dia tidak buat lagi kita tidak boleh tuduh. Cuma kita nampak trend pernubuhan KTS itu seolah-olah dia nak kembali kepada trend wujudkan Al-Arqam," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Terdahulu beliau melancarkan Buku Panduan Proses Permohonan Skim-Skim Bantuan Zakat Baitulmal terbitan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang menjelaskan secara terperinci bagaimana sesuatu permohonan zakat diuruskan oleh Baitulmal MAIWP daripada awal sehingga bantuan itu diluluskan.

Jamil Khir berkata buku itu yang akan diedarkan kepada orang awam tidak lama lagi diharap dapat memperbetulkan tanggapan dan persepsi negatif masyarakat terhadap prosedur permohonan bantuan zakat yang dilaksanakan oleh Baitulmal MAIWP.

Beliau berkata MAIWP juga akan membangunkan satu sistem data maklumat yang mengandungi maklumat terperinci mengenai setiap individu yang memohon skim-skim bantuan zakat daripada MAIWP.

"Dalam data itu nanti akan disertakan apakah skim bantuan yang dia sudah dapat. Jadi mereka tidak boleh menafikan perkara itu kerana kadang-kala mereka tidak tulis dalam borang permohonan apakah bantuan lain yang mereka dapat," katanya.

Katanya menerusi sistem data itu akan dapat memastikan hanya pemohon yang layak sahaja akan diberikan bantuan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain